PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM336.7 bilion pada April 2026 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM182.7 bilion dan RM154 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada April 2026 mencapai RM182.7 bilion, mencatatkan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak RM49.2 bilion (+36.9 peratus).
“Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM33.5 bilion), Johor (+RM9.7 bilion) dan W.P. Kuala Lumpur (+RM3.5 bilion).
“Ia turut diikuti dengan Selangor (+RM2.5 bilion), Sarawak (+RM490.1 juta), Perak (+RM472.2 juta), Terengganu (+RM404.6 juta), Sabah (+RM188.3 juta), Perlis (+RM26.7 juta) dan Negeri Sembilan (+RM25.2 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di Pahang sebanyak RM573.5 juta, W.P. Labuan (-RM289.1 juta), Kedah (-RM188.6 juta), Melaka (-RM158.2 juta) dan Kelantan (-RM11.8 juta),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 45.1 peratus, diikuti oleh Johor (19.7 peratus), Selangor (14.6 peratus), Sarawak (5.3 peratus) dan W.P. Kuala Lumpur (4.2 peratus).
Mengulas lanjut mengenai prestasi import, beliau berkata, import pada bulan April 2026 meningkat RM25.6 bilion (+20 peratus) berbanding bulan yang sama pada 2025.
“Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM18.6 bilion), Pulau Pinang (+RM9.6 bilion) dan. Sarawak (+RM517.6 juta).
“Ia diikuti dengan Perak (+RM322.5 juta), Kedah (+RM294.8 juta), W.P. Labuan (+RM289.1 juta), Sabah (+RM211.6 juta), Terengganu (+RM165.4 juta), Negeri Sembilan (+RM127.0 juta), Pahang (+RM58.2 juta) dan Perlis (+RM40.9 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai import menurun di Selangor sebanyak RM2.0 bilion, W.P. Kuala Lumpur (-RM1.3 bilion), Kelantan (-RM27.1 juta) dan Melaka (-RM8.0 juta).
“Johor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 28 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (25.3 peratus), Selangor (23.4 peratus), W.P. Kuala Lumpur (7.8 peratus) dan Kedah (4.4 peratus),” ujarnya. – UTUSAN










