PETALING JAYA: Indeks Volum Perkhidmatan Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 5.8 peratus dan mencapai 168.0 mata bagi suku tahun pertama 2026, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut didorong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang berkembang sebanyak 5.7 peratus.
Katanya, ia juga diikuti oleh peningkatan 8.1 peratus bagi segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan, manakala segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan meningkat 3.0 peratus dan segmen perkhidmatan lain sebanyak 9.3 peratus.
“Dalam pada itu, peningkatan 5.7 peratus bagi segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan kebanyakannya disokong oleh pertumbuhan dalam perdagangan borong dan runcit (4.9 peratus), makanan dan minuman (8.5 peratus) dan penginapan (15.0 peratus)
“Pertumbuhan dalam perdagangan borong merupakan penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 6.1 peratus kepada 155.0 mata, diikuti oleh perdagangan runcit (4.8 peratus) dan kenderaan bermotor (1.0 peratus).
“Prestasi ini disokong oleh permintaan pengguna yang kekal kukuh serta perbelanjaan semasa musim perayaan, peningkatan pendapatan isi rumah, dan pertambahan aktiviti berkaitan pelancongan sepanjang suku tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peningkatan 8.1 peratus kepada 191.2 mata bagi segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan pula didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor maklumat dan komunikasi (8.0 peratus) dan pengangkutan dan penyimpanan (8.3 peratus).
“Peningkatan ini hasil daripada kemajuan berterusan dalam teknologi digital, termasuk pertumbuhan pusat data dan peluasan perkhidmatan digital.
“Ia sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap sambungan berkelajuan tinggi, penyelesaian berasaskan awan dan perkhidmatan internet,” ujarnya.
Pada masa yang sama, peningkatan 3.0 peratus kepada 156.8 mata bagi segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan didorong oleh pertumbuhan subsektor profesional dan pentadbiran serta khidmat sokongan (6.2 peratus), diikuti oleh hartanah (7.4 peratus) dan kewangan dan insurans (0.1 peratus).
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan tersebut mencerminkan aktiviti perniagaan yang stabil serta keadaan pasaran yang menyokong sepanjang suku tahun tersebut.
“Selain itu, peningkatan 9.3 peratus kepada 146.9 mata bagi segmen perkhidmatan lain pula dipacu oleh subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (8.8 peratus), kesihatan swasta (9.7 peratus) dan pendidikan swasta (9.3 peratus).
“Pertumbuhan dalam subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi juga disokong oleh peningkatan penyertaan dalam aktiviti riadah dan rekreasi.
“Pada masa yang sama, perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti mendapat manfaat daripada permintaan yang berterusan terhadap perkhidmatan seperti dobi, kecantikan dan penjagaan diri, selaras dengan peningkatan perbelanjaan pengguna dan keperluan berkaitan gaya hidup,” katanya.
Dalam hal lain, Mohd Uzir juga berkata, Indeks Volum Perkhidmatan meningkat 0.1 peratus pada suku tahun pertama 2026 di mana ia disokong oleh peningkatan dalam segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (1.2 peratus), diikuti oleh segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (1.1 peratus) serta segmen perkhidmatan lain (0.2 peratus).
“Indeks Volum Perkhidmatan bagi pelarasan bermusim meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2025,” katanya. – UTUSAN










