Indeks harga pengeluar catat peningkatan tertinggi, 5.4 peratus pada April 2026 - Utusan Malaysia

Indeks harga pengeluar catat peningkatan tertinggi, 5.4 peratus pada April 2026

Indeks harga pengeluar catat peningkatan tertinggi, 5.4 peratus pada April 2026. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi sejak Ogos 2022, peningkatan 5.4 peratus pada April 2026, berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini terutamanya didorong oleh kenaikan harga minyak mentah dan produk berkaitan petroleum.

“Semua sektor mencatatkan peningkatan pada bulan ini, dengan sektor perlombongan merekodkan peningkatan signifikan sebanyak 53.4 peratus, berbanding kenaikan 26.5 peratus pada Mac 2026.

“Peningkatan ini dipengaruhi terutamanya oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah yang melonjak 74.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.7 peratus, selepas penurunan 5.6 peratus pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan ini disokong oleh indeks perikanan (17.5 peratus) dan penanaman tanaman kekal (1.4 peratus).

“Sektor pembuatan pula meningkat 1.1 peratus, berbanding penurunan 0.8 peratus pada Mac 2026, didorong oleh peningkatan dalam indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (3.8 peratus) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (3.0 peratus),” katanya.

Sementara itu, sektor bekalan air dan bekalan elektrik dan gas meningkat sebanyak 10.8 peratus dan 10.6 peratus.

Mohd. Uzir berkata, pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan terus meningkat 3.2 peratus, selepas mencatatkan kenaikan 4.1 peratus pada bulan sebelumnya.

“Sektor perlombongan merekodkan peningkatan dua digit 19.8 peratus berbanding 32.9 peratus pada Mac 2026 disokong oleh peningkatan dalam kedua-dua indeks pengekstrakan petroleum mentah (21.4 peratus) dan pengekstrakan gas asli (12.0 peratus).

“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.4 peratus berbanding 2.8 peratus pada Mac 2026 disebabkan oleh indeks Penanaman tanaman kekal (4.6 peratus).

“Sektor pembuatan turut meningkat 1.4 peratus berbanding 1.7 peratus pada Mac 2026 disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (4.9 peratus),” katanya.

Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masingmasing meningkat sebanyak 1.2 peratus dan 0.9 peratus.

Mengulas lanjut mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan,
indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat sebanyak 26.1 peratus berbanding 9.8 peratus pada Mac 2026, disokong bahan bukan makanan (31.2 peratus).

Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat perlahan 0.8 peratus berbanding 1.3 peratus pada Mac 2026, dipengaruhi oleh bahan dan komponen untuk pembinaan (5.9 peratus).

“Sementara itu, indeks barang siap meningkat 0.7 peratus berbanding -0.1 peratus pada Mac 2026 disebabkan oleh kelengkapan modal (0.8 peratus),” katanya.

Pada asas bulan ke bulan, semua peringkat pemprosesan mencatatkan peningkatan pada April 2026.

Indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat sebanyak 10.0 peratus.

Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen dan barang siap juga masing-masing meningkat sebanyak 1.9 peratus dan 0.3 peratus pada bulan ini.

Melihat kepada harga komoditi terpilih Malaysia, Mohd. Uzir Mahidin berkata, menurut Bank Dunia, purata harga minyak mentah Brent pada April 2026 ialah AS$120.42 setong, meningkat daripada AS$103.69 setong pada bulan sebelumnya.

“Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata peningkatan harga minyak mentah global pada April 2026 didorong terutamanya oleh kebimbangan dari sudut bekalan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, gangguan terhadap laluan pengangkutan minyak serta keadaan bekalan minyak global yang lebih ketat.

“Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, harga tersebut juga lebih tinggi berbanding AS$67.75 setong pada April 2025,” katanya.

Sementara itu, harga buah tandan segar kelapa sawit (BTS) dan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia turut mencatatkan peningkatan pada bulan ini.

Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa purata harga MSM meningkat kepada RM4,567.50 satu tan, berbanding RM4,321.00 satu tan pada Mac 2026.

Harga MSM dan BTS yang lebih tinggi pada bulan ini didorong terutamanya oleh keadaan bekalan yang lebih ketat serta permintaan eksport yang lebih kukuh.

Selain itu, kenaikan harga minyak mentah turut menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap biodiesel berasaskan minyak sawit, sekali gus menyokong harga MSM sepanjang bulan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN