PETALING JAYA: Hong Leong Bank Bhd (HLB) memperkukuh komitmennya dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan memudahkan akses kepada Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM).
Kemudahan itu diwujudkan bagi membantu PMKS yang terjejas akibat gangguan operasi sementara dan cabaran aliran tunai susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Bank itu berkata, SME SRF berfungsi sebagai penyelesaian modal kerja khusus yang membolehkan perniagaan yang terjejas merapatkan jurang kecairan jangka pendek dan memenuhi obligasi kewangan mereka tanpa menjejaskan prospek pertumbuhan jangka panjang mereka.
“Menyedari peranan penting PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara, HLB mengutamakan pengeluaran kemudahan ini bagi memastikan perniagaan yang berdaya maju dapat mengekalkan momentum mereka.
“Di bawah kemudahan ini, PKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM750,000 yang akan digunakan khusus untuk keperluan modal kerja pada kadar pembiayaan sehingga 3.75 peratus setahun, dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.
“Kemudahan ini disokong oleh perlindungan jaminan sehingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP),” katanya dalam kenyataan.
HLB berkata, SME SRF boleh dipohon bermula dari 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026 atau sehingga jumlah peruntukan dana RM5 bilion digunakan sepenuhnya.
“Pelanggan HLB yang ingin memohon kemudahan ini digalakkan untuk menghubungi pengurus perhubungan khusus mereka untuk maklumat lanjut,” jelasnya. – UTUSAN










