PETALING JAYA: Harga minyak dunia terus melonjak melepasi paras AS$120 (RM473.94) setong, susulan kebimbangan berterusan terhadap gangguan bekalan dari Asia Barat, ketika rundingan antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran masih menemui jalan buntu.
Harga minyak mentah Brent melonjak 3.11 peratus kepada AS$121.7 (RM480.65) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) naik 1.49 peratus kepada AS$108.4 (RM428.13) setong sehingga lewat petang semalam.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, kenaikan harga minyak mencerminkan premium risiko geopolitik yang tinggi, bukan sekadar dipacu faktor asas permintaan dan penawaran.
“Pasaran kini menilai kemungkinan gangguan bekalan fizikal yang berpanjangan, khususnya dari Asia Barat, susulan rundingan damai antara negara terlibat yang masih menemui jalan buntu serta risiko terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz.
“Dalam keadaan ini, harga minyak tidak lagi digerakkan oleh asas ekonomi global semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi ketidaktentuan keselamatan, kepentingan strategik tenaga dan sentimen pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, dalam tempoh jangka pendek sekitar beberapa minggu hingga dua hingga tiga bulan, harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi dalam julat AS$110 (Rm435.09) hingga AS$125 (RM494.42) setong.
“Lonjakan melepasi AS$120 (RM474.64) berkemungkinan berulang sekiranya berlaku eskalasi ketenteraan baharu atau pengetatan sekatan serta gangguan pelayaran yang berpanjangan
“Dalam senario lebih negatif, sekiranya konflik meluas atau Selat Hormuz terganggu secara serius, harga berpotensi melonjak ke paras AS$130 (RM514.20) hingga AS$150 (RM593.30) setong, seperti yang pernah dicatatkan dalam episod krisis minyak global sebelum ini,” ujarnya.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kenaikan harga minyak ketika ini lebih didorong oleh premium risiko geopolitik berikutan ketegangan melibatkan AS, Israel dan Iran.
“Pasaran sedang bertindak atas kebimbangan gangguan bekalan, bukan semata-mata kekurangan fizikal sebenar.
“Dalam jangka pendek, harga dijangka kekal tinggi sekitar AS$100 (RM395.53( hingga AS$120 (RM474.64) setong, malah boleh meningkat jika konflik memuncak.
“Namun, dalam jangka sederhana, harga berpotensi stabil sekiranya rundingan diplomatik menunjukkan perkembangan positif,” ujarnya
Memetik Reuters, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan mengadakan pertemuan dengan syarikat minyak bagi membincangkan langkah mengurangkan kesan sekatan terhadap pelabuhan Iran yang dijangka berlanjutan beberapa bulan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan minyak global.
“Kebuntuan rundingan itu menyusuli konflik yang mengorbankan ribuan nyawa serta mencetuskan gangguan tenaga terbesar dunia.
“Tehran dilaporkan menyekat hampir semua perkapalan dari Teluk melalui Selat Hormuz, kecuali kapal miliknya sendiri, sejak serangan udara oleh AS dan Israel bermula pada 28 Februari.
“Pada bulan ini, AS turut melaksanakan sekatan terhadap kapal Iran,” katanya.
Dari sudut bekalan, kumpulan OPEC+ dijangka bersetuju meningkatkan kuota pengeluaran minyak secara kecil sekitar 188,000 tong sehari pada mesyuarat Ahad ini.
“Mesyuarat itu diadakan selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik diri daripada OPEC berkuat kuasa 1 Mei, yang dijangka menjejaskan keupayaan kumpulan pengeluar minyak itu mengawal harga.
“Walaupun langkah itu membolehkan negara Teluk berkenaan meningkatkan pengeluaran selepas eksport disambung semula, penganalisis berpandangan ia tidak banyak mengubah asas pasaran tahun ini.
“Ia khususnya susulan penutupan Selat Hormuz serta gangguan pengeluaran lain akibat konflik,” katanya. – UTUSAN










