PETALING JAYA: FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka bergerak dengan berhati-hati tetapi masih cenderung positif pada minggu ini, didorong oleh kestabilan dasar monetari susulan pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus.
Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, pengekalan OPR memberi isyarat kestabilan dasar monetari serta mencerminkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi domestik Malaysia.
Katanya, dasar monetari yang stabil lazimnya meningkatkan keyakinan pelabur kerana ia mengurangkan ketidaktentuan berkaitan kos pinjaman, pengembangan perniagaan dan perbelanjaan isi rumah.
“Bagaimanapun, faktor luaran masih dijangka menjadi penentu utama hala tuju pasaran dalam jangka pendek. Pelabur kekal sensitif terhadap perkembangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), ketegangan geopolitik di Asia Barat dan ketidaktentuan perdagangan global.
“Sebarang peningkatan konflik geopolitik atau data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh mengukuhkan dolar AS dan menyebabkan aliran keluar dana asing dari pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siong Hook berkata, dari sudut sektor, saham perbankan dijangka terus menjadi pemacu utama pasaran berikutan asas keuntungan yang kukuh, margin faedah bersih yang stabil dan pertumbuhan pinjaman yang masih baik disokong oleh permintaan domestik.
Menurutnya, sektor tenaga pula berpotensi menarik minat pelabur sekiranya harga minyak mentah kekal tinggi, manakala sektor utiliti dan penjagaan kesihatan mungkin mendapat perhatian sebagai sektor defensif ketika ketidaktentuan global meningkat.
“Beberapa syarikat teknologi dan berorientasikan eksport juga dijangka menunjukkan prestasi lebih baik sekiranya ringgit kekal stabil dan permintaan global terhadap semikonduktor bertambah baik.
“Namun begitu, pelabur dijangka kekal lebih selektif dan tidak terlalu agresif memandangkan pasaran masih berdepan pelbagai risiko luaran,” ujarnya.
Mengulas mengenai pergerakan mata wang negara pula, beliau berkata, ringgit menunjukkan trend pengukuhan yang memberangsangkan, didorong oleh peningkatan keyakinan pelabur, keadaan makroekonomi domestik yang stabil dan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin mengambil pendekatan monetari yang kurang agresif pada masa akan datang.
“Asas ekonomi Malaysia seperti inflasi yang terkawal, kedudukan fiskal yang stabil, peningkatan sektor pelancongan dan prestasi eksport yang masih baik turut menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
“Dalam tempoh terdekat, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh secara sederhana dan boleh bergerak sekitar RM3.95 hingga RM4.00 berbanding dolar AS,” jelasnya.
Beliau berkata, harga minyak mentah global dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat akibat gabungan faktor geopolitik, dasar pengeluaran minyak dan keadaan permintaan global.
Jelasnya, perkembangan geopolitik memainkan peranan yang jauh lebih besar berbanding faktor asas penawaran dan permintaan biasa.
“Pergerakan harga minyak mentah memberi kesan yang besar tetapi tidak sekata terhadap pasaran ekuiti Malaysia kerana Malaysia merupakan negara pengeluar minyak dan pada masa yang sama sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
“Kenaikan harga minyak lazimnya memberi kesan positif kepada saham sektor tenaga dan minyak dan gas, khususnya syarikat huluan, penyedia perkhidmatan petroleum dan syarikat kejuruteraan berkaitan tenaga.
“Harga minyak yang lebih tinggi biasanya meningkatkan jangkaan pendapatan, margin keuntungan dan aktiviti pelaburan dalam sektor tenaga,” katanya. – UTUSAN











