KUALA LUMPUR: Eatzy Bites pengeluar dan pemasar bagi snek berjenama Popyummy meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada sekitar 2,000 paket sebulan berbanding hanya 100 balang sebelum ini selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pemilik Eatzy Bites, Sofea Chan Abdullah berkata, syarikatnya mula memberi fokus kepada pensijilan halal sejak 2019 menerusi program di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor sebelum sijil rasmi dikeluarkan pada Mac 2020.
Katanya, produk utama syarikat iaitu snek Popyummy mula menerima sokongan dari segi penggunaan mesin dan peralatan yang membantu mempercepatkan proses pengeluaran secara semi automatik.
“Perubahan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja, malah membuka peluang untuk pengeluaran dalam skala lebih besar.
“Kini, kapasiti pengeluaran berjaya ditingkatkan kepada sekitar 2,000 paket sebulan berbanding hanya 100 balang sebelum ini. Perkembangan tersebut membuktikan bahawa pensijilan halal bukan sekadar meningkatkan keyakinan pengguna, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan operasi dan pasaran perniagaan tempatan.
“Walaupun pensijilan halal bukan satu kewajipan bagi perniagaan kecil, kami melihatnya sebagai satu keperluan penting untuk membina keyakinan pengguna terhadap kualiti, kebersihan dan integriti produk,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Eatzy Bites kini menawarkan empat variasi snek iaitu Salted Egg Cereal Crackers, Spicy Cuttlefish Seaweed Crackers, Crispy Churros Stixs dan Snow White Mini Rolls.
Tambah Sofea, syarikat kini dalam proses pembaharuan sijil halal selain merancang memperkenalkan dua lagi perisa baharu bagi memenuhi permintaan pasaran.
Jelasnya, keunikan produk Popyummy terletak pada penggunaan kulit popiah sebagai asas utama snek yang dipadankan dengan formula perisa ciptaan sendiri.
“Kami memberi penekanan terhadap penggunaan bahan asli sebagai sumber utama perisa dan bukan sekadar bergantung kepada perasa tiruan. Ini membantu menghasilkan rasa yang lebih premium dan berkualiti,” katanya.
Menurut Sofea, kira-kira 90 peratus bahan utama yang digunakan adalah daripada sumber tempatan, sekali gus memudahkan proses mendapatkan pengesahan halal.
Produk tersebut dijual dalam pembungkusan ‘standy pouch’ pada harga RM8 sepeket dan sesuai dijadikan kudapan harian, hantaran mahupun hadiah korporat.
Dalam perkembangan sama, Sofea mengakui proses pembaharuan sijil halal bukan sesuatu yang mudah apabila syarikat pernah berdepan beberapa cabaran teknikal.
Bagaimanapun, menerusi program bimbingan pensijilan halal hasil kerjasama Nestlé dan Halal Development Corporation (HDC), Eatzy Bites berjaya mengatasi isu berkenaan dan mengekalkan status halal sehingga kini.
Beliau berkata, pensijilan halal telah memberi impak positif terhadap peningkatan jualan serta membuka akses kepada pasaran yang lebih besar.
“Produk kami kini dipasarkan di Pasar Besar, Pasar Seni dan beberapa Kedai Mesra terpilih. Selain itu, kami juga berpeluang menyertai pelbagai program kerajaan yang mensyaratkan sijil halal,” katanya. – UTUSAN










