Land & General Berhad (L&G) memperkenalkan Damansara Laverra, sebuah pembangunan kediaman bertingkat pegangan bebas yang direka untuk memenuhi perubahan cita rasa gaya hidup bandar menerusi susun atur praktikal, aksesibiliti yang baik serta ciri-ciri berorientasikan gaya hidup dalam kawasan kediaman matang Bandar Sri Damansara.
Pembangunan itu terletak bersebelahan kemudahan gaya hidup dan komersial sedia ada seperti The FLO, Ativo Plaza serta DA Central Mall yang bakal dibangunkan.
Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM752 juta itu sekali gus memperkukuhkan momentum berterusan kumpulan serta strategi pelaksanaan saluran pembangunan yang berdisiplin dalam kawasan perbandaran matang berkenaan.
Menurut L&G, pelancaran projek tersebut mencatatkan lebih 600 unit tempahan dalam tempoh sehari, mewakili kira-kira 61 peratus daripada keseluruhan unit yang ditawarkan, sekali gus mencerminkan keyakinan pasaran yang kukuh serta permintaan tinggi terhadap pembangunan baharu itu.
“Sebanyak 61 peratus tempahan telah direkodkan setakat ini, dengan penukaran kepada Perjanjian Jual Beli (SPA) dijangka dimuktamadkan dalam bulan hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sambutan memberangsangkan itu turut mengukuhkan permintaan di koridor Damansara susulan prestasi cemerlang pembangunan berhampiran milik kumpulan iaitu Damansara Livista dan Residensi Kamelia, yang masing-masing mencatat kadar pengambilan sekitar 90 peratus dan 83 peratus setakat 30 April 2026.
Menurut L&G, pembangunan Damansara Laverra turut menarik minat golongan profesional muda yang bekerja di kawasan Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan sekitarnya.
“Selain itu, projek ini juga sesuai untuk keluarga berkembang yang memerlukan susun atur praktikal tiga hingga empat bilik, selain pembeli yang mengutamakan gaya hidup bandar dalam persekitaran perbandaran matang dan lengkap.
“Pembeli juga menghargai akses kepada institusi pendidikan berkualiti seperti Sri Bestari Private School dan Sri Bestari International School,” katanya.
Damansara Laverra terletak secara strategik kira-kira 500 meter dari stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sri Damansara Barat melalui laluan berbumbung yang dirancang, sekali gus menawarkan hubungan lancar ke lokasi utama di Lembah Klang menerusi lebuh raya utama dan rangkaian pengangkutan awam bersepadu.
Pembangunan pegangan bebas berkonsepkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) itu turut mengetengahkan konsep kepadatan rendah dengan hanya lapan hingga 12 unit bagi setiap aras serta dilengkapi empat lif bagi meningkatkan keselesaan dan privasi penghuni.
Selain itu, projek tersebut turut menampilkan taman gaya hidup “Senses Park” seluas 5.21 ekar sebagai elemen hijau utama pembangunan.
Damansara Laverra terdiri daripada dua menara yang menempatkan sejumlah 1,008 unit kediaman dalam pembangunan pegangan bebas bertaraf kediaman seluas 1.14 hektar di lokasi strategik tengah Bandar Sri Damansara.
Pembangunan itu menawarkan pilihan susun atur dua bilik, tiga bilik dan empat bilik dengan keluasan binaan antara 725 kaki persegi hingga 1,150 kaki persegi dan direka untuk memenuhi keperluan pembeli yang ingin menaik taraf kediaman serta keluarga yang semakin berkembang dan mencari kehidupan bandar yang praktikal serta mempunyai sambungan baik, dengan purata harga jualan RM870 setiap kaki persegi.
Sebagai pemaju utama Bandar Sri Damansara, L&G memainkan peranan penting dalam membentuk kawasan perbandaran tersebut menerusi pelbagai pembangunan kediaman dan komersial yang menerima sambutan positif pasaran serta meraih pelbagai anugerah industri selama bertahun-tahun.
Berasaskan kehadiran kukuh dan rekod prestasi terbukti kumpulan di kawasan itu, Damansara Laverra dijangka terus memperkukuhkan ekosistem Bandar Sri Damansara yang semakin berkembang sambil menyumbang secara positif kepada saluran pembangunan dan prestasi jangka sederhana kumpulan.-UTUSAN










