Berjaya Air sasar miliki dua ATR 72-600 HighLine akhir tahun ini

Berjaya Air sasar miliki dua ATR 72-600 HighLine akhir tahun ini

CHESTER Voo (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Land Berhad, Syed Ali Shahul Hameed (empat kiri) ketika Majlis Pelancaran Berjaya Air ATR 72-600 Pesawat Kelas Perniagaan pertama di dunia di Berjaya Air Hangar, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Berjaya Air menyasarkan memiliki dua pesawat baharu ATR 72-600 HighLine menjelang akhir tahun ini dengan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM70 juta setahun bagi memperluaskan operasi penerbangan sewa khas premium syarikat itu.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Berjaya Aviation Group, Datuk Chester Voo berkata, syarikat kini mengendalikan sebuah pesawat ATR 72-600 HighLine, manakala pesawat kedua dijangka diterima pada Oktober depan.

“Berjaya Air kini tampil dengan model perniagaan berbeza menerusi pesawat yang menawarkan hanya 26 tempat duduk kelas perniagaan eksklusif.

“Berjaya Air juga menawarkan pengalaman penerbangan premium menerusi kabin kelas perniagaan eksklusif dengan penekanan terhadap keselesaan, kulinari dan privasi dari Subang.

“Pesawat ini juga akan digunakan untuk penerbangan ke beberapa destinasi termasuk laluan musim puncak seperti musim perayaan,” katanya pada majlis pelancaran pesawat ATR 72-600 HighLine di Terminal SkyPark Subang, semalam.

Laluan awal yang bakal dikendalikan termasuk Subang-Redang, Seletar-Redang, Subang-Koh Samui dan Subang-Medan dengan kekerapan tiga kali seminggu bagi setiap destinasi.

Pesawat kedua pula dijangka meningkatkan kekerapan penerbangan selain memperkenalkan laluan ke Pekanbaru dan Batam.

Beliau berkata, syarikat sedang menggantikan pesawat lama ATR 72-500 dan ATR 42-500 dengan dua pesawat baharu ATR 72-600 HighLine bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengawal kos.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri penerbangan ketika ini berdepan cabaran susulan kenaikan harga bahan api, kos operasi dan gangguan rantaian bekalan global.

“Bagaimanapun, model perniagaan Berjaya Air memberi fokus kepada operasi penerbangan premium tanpa bersaing secara langsung dengan syarikat penerbangan tradisional.

“Kami tidak memberi tumpuan kepada penerbangan dengan kekerapan tinggi ke destinasi utama seperti Pulau Pinang atau Kota Kinabalu, sebaliknya menyasarkan kumpulan penumpang kecil yang mementingkan keselesaan, privasi dan pengalaman premium,” jelasnya.

Beliau berkata, Berjaya Air turut mengekalkan kos operasi rendah menerusi automasi sistem, pendigitalan operasi dan penggunaan pesawat yang lebih cekap bahan api.

“Syarikat turut menyasarkan antara empat hingga enam penerbangan sehari menggunakan sebuah pesawat sebelum meningkat kepada kira-kira 10 penerbangan sehari selepas pesawat kedua diterima. 

“Tiket penerbangan premium pula ditawarkan pada harga kompetitif dan lebih rendah berbanding kebanyakan tiket kelas perniagaan syarikat penerbangan tradisional.

“Sebagai contoh, harga asas penerbangan pergi balik bermula sekitar RM2,000 termasuk pengalaman kelas perniagaan sepenuhnya dari Lapangan Terbang Subang,” ujarnya. 

Setakat ini kadar tempahan awal bagi kira-kira 1,700 inventori tempat duduk pesawat itu sudah mencapai 61 peratus walaupun pelancaran rasmi penuh belum dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN