KUALA LUMPUR: Malaysia masih merekodkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi dengan sekurang-kurangnya 115 kemalangan bagi setiap 100,000 penduduk.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, sebanyak 18 kematian membabitkan motosikal direkodkan setiap hari dan dua pertiga daripadanya adalah penunggang motosikal.
“Kira-kira 80 peratus kemalangan pula berpunca daripada kesilapan manusia dan bukannya faktor kerosakan kenderaan atau keadaan jalan raya,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.
Menurut Kim Soon, tuntutan kereta persendirian meningkat tujuh peratus ketika industri bergerak ke arah penetapan premium berasaskan risiko.
“Pendekatan ini akan membolehkan pemandu berhemah menikmati premium lebih rendah berbanding pemandu berisiko tinggi pada masa depan,” katanya.
Melihat ke hadapan, jelasnya, industri insurans am menjangkakan tahap risiko dan kerugian akan kekal stabil tanpa lonjakan mendadak.
“Namun, faktor seperti inflasi kos, peningkatan pampasan mahkamah dan kadar kemalangan tinggi terus menjadi cabaran utama.
“Premium masih terkawal, tetapi tekanan kos tetap ada.
“Fokus industri adalah memastikan insurans kekal mampu milik sambil mengurus risiko secara berkesan,” katanya. – UTUSAN









