Wanita merangkumi 29.3 peratus dalam lembaga pengarah PLC

Wanita merangkumi 29.3 peratus dalam lembaga pengarah PLC

MOHAMMAD FAIZ MOHAMMAD AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peratusan wanita dalam lembaga pengarah bagi semua syarikat tersenarai awam (PLC) adalah sebanyak 29.3 peratus pada Januari 2026, sekali gus merupakan satu pencapaian penting dari segi perwakilan wanita.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Mohammad Azmi berkata, SC kekal komited untuk memperkukuh keterangkuman dan penyertaan dalam pasaran modal. 

“Pada 2012, sasaran 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah telah disyorkan bagi PLC berskala besar. 

“Sasaran ini kemudiannya diperluaskan untuk merangkumi semua syarikat tersenarai. 

“100 PLC teratas secara kolektif mencapai sasaran ini pada tahun 2023, dan tahun ini kami berada di landasan untuk mencapai sasaran 30 peratus bagi semua PLC,” katanya dalam ucap tama Program Graduasi “investED for Returning Women”.

Beliau berkata, program investED for Returning Women telah menerima minat yang tinggi sejak dilancarkan tahun lalu dengan sokongan Kementerian Kewangan dan pihak yang terlibat. 

“Ia mencerminkan keinginan dalaman untuk terus menyumbang kepada dunia korporat, khususnya dalam pasaran modal.

“Selepas lebih 800 permohonan dan tiga kohort, seramai 128 peserta wanita telah berjaya menamatkan program ini,” ujarnya. 

Beliau turut mengesa majikan dan jabatan sumber manusia untuk memanfaatkan peluang ini dan mengambil bakat profesional berpengalaman ini demi kebaikan organisasi. 

“Sila gunakan sesi rangkaian yang akan diadakan nanti untuk bertemu dan berinteraksi dengan bakal pekerja.

“Malah, saya gembira mendengar bahawa kira-kira 12 peratus daripada graduan telah memperoleh pekerjaan dan akan memulakan atau telah kembali bekerja. Tahniah, ini merupakan bukti nilai yang dibawa oleh program ini,” katanya. 

Tambahnya, penglibatan TalentCorp membantu memastikan program itu selari dengan usaha nasional untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai profesional berkemahiran dalam tenaga kerja.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada LeadWomen atas peranan mereka dalam menyampaikan sesi pembangunan kepimpinan dan kesiapsiagaan kerjaya. 

“Ini terbukti sangat berharga kepada para peserta dalam persediaan mereka untuk kembali ke dunia profesional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN