UOB Malaysia, PAAB perkukuh rantaian bekalan infrastruktur air

UOB Malaysia, PAAB perkukuh rantaian bekalan infrastruktur air

LUCAS Chew (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Program Pembiayaan Vendor UOB-PAAB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) melancarkan Program Pembiayaan Vendor UOB-PAAB bagi meningkatkan akses pembiayaan kepada pembekal dan vendor dalam ekosistem rantaian bekalan PAAB.

Seiring dengan pelancaran itu, UOB menyediakan kemudahan pembiayaan kepada vendor PAAB yang menyertai Aku Janji Pembayaran Tak Boleh Batal Pembiayaan Pembekal (SF-IPU).

Ketua Negara Perbankan Transaksi UOB Malaysia, Lucas Chew berkata, pelancaran program tersebut mencerminkan komitmen UOB Malaysia dalam memperkukuh ekosistem infrastruktur air negara serta menyokong pembekal dan vendor yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek air.

“Kami membantu vendor mengurus aliran tunai dengan lebih cekap, memendekkan kitaran pemprosesan serta meningkatkan kesiapsiagaan operasi secara keseluruhan.

“Ia dilaksanakan melalui penawaran pembiayaan yang lebih boleh diramal, tanpa berbantukan serta pendigitalan proses rantaian bekalan utama.

“Langkah ini menyokong pelaksanaan yang lebih pantas, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan mewujudkan ekosistem yang lebih mantap, sekali gus menyokong pembangunan jangka panjang infrastruktur air di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah program itu, vendor yang kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berada dalam kedudukan lebih baik untuk mendapatkan pembiayaan, sekali gus memudahkan mereka dipilih bagi projek baharu.

Program berkenaan turut menawarkan kemudahan pembiayaan yang dipermudahkan selepas penghantaran.

Pelaksanaan program tersebut dilihat tepat pada masanya kerana ia memperkukuh penyampaian projek dan meningkatkan kesediaan rantaian bekalan. 

Ia turut menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan kecekapan, kualiti dan kemampanan jangka panjang industri perkhidmatan air di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan PAAB, Zaleha Abdul Hamid berkata, program berkenaan secara langsung memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek PAAB melalui peningkatan kesiapsiagaan kewangan vendor.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia dalam program ini.

“Ia membantu kontraktor, perunding dan pembekal kami mengurus aliran tunai, mengawal kos yang semakin meningkat serta merancang kerja dengan lebih yakin dari segi kewangan.

“Selain itu, program ini membolehkan vendor menyampaikan perkhidmatan dengan lebih dipercayai, sekali gus menyumbang kepada pelaksanaan projek yang lebih lancar di seluruh negara.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen PAAB untuk menyediakan infrastruktur air yang mampan, cekap dan berkualiti tinggi kepada masyarakat,” katanya.

Pelancaran ini merupakan peristiwa penting dalam kerjasama antara UOB Malaysia dan PAAB, sekali gus memperkukuh komitmen bersama dalam menyokong sektor air negara melalui inovasi kewangan, kecekapan operasi dan pembangunan ekosistem. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN