PETALING JAYA: TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (TP-Link Malaysia) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran perangkaian yang relevan dengan keperluan industri masa kini.
Kerjasama selama tiga tahun itu bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan tuntutan sebenar sektor perusahaan, membolehkan graduan UiTM memiliki kebolehan praktikal serta pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.
Menerusi kolaborasi ini, makmal UiTM akan dilengkapi dengan penyelesaian rangkaian perusahaan Omada oleh TP-Link, sekali gus memberi pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang digunakan dalam persekitaran perniagaan sebenar.
Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Hugo Cai berkata, meskipun banyak organisasi kini sedang memperluas infrastruktur digital, namun pasaran masih kekurangan tenaga profesional yang mempunyai kepakaran khusus dalam rangkaian perusahaan.
“Kerjasama ini memberi tumpuan untuk merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan serta relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama mereka melangkah ke alam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
Selain penggunaan peralatan di makmal, pelajar juga bakal mengikuti program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA) dan peluang latihan industri bersama TP-Link.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, kerjasama tersebut sangat penting bagi memastikan graduan universiti itu kekal relevan dalam landskap digital yang berkembang pesat.
“Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program akademik agar lebih bersesuaian dengan kemajuan teknologi dan jangkaan industri semasa,” jelas beliau.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan program terdahulu TP-Link dengan Universiti Malaya pada 2025 yang menyaksikan penyertaan lebih 500 pelajar, membuktikan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian digital di Malaysia.
Selain pembangunan bakat, kedua-dua pihak turut akan meneroka inisiatif bersama dalam bidang penyelidikan, perundingan, serta pertukaran pengetahuan antara jurutera TP-Link dan ahli fakulti UiTM. – UTUSAN










