Tenaga Solar jadi pilihan stabil ketika pasaran minyak tidak menentu

Tenaga Solar jadi pilihan stabil ketika pasaran minyak tidak menentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri tenaga boleh baharu dijangka menjadi semakin penting susulan krisis di Asia Barat yang menyebabkan kenaikan harga bahan api fosil.

Dalam konteks ini, syarikat tenaga bersih Malaysia seperti Solarvest Holdings Berhad melihat peluang besar untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga alternatif di rantau Asia.

Naib Presiden Kumpulan, Jualan Global, Aset dan Pemasaran, Jack Tan berkata, situasi itu dijangka mempercepatkan peralihan kepada tenaga alternatif kerana banyak negara mahu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil yang diimport.

“Apabila berlaku gangguan bekalan minyak dan gas, lebih banyak negara serta pelabur akan melihat kepada tenaga boleh baharu seperti solar sebagai sumber tenaga yang lebih stabil dan boleh dirancang untuk jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, projek tenaga solar menawarkan pulangan yang lebih stabil kepada pelabur kerana kebanyakannya melibatkan kontrak bekalan elektrik jangka panjang sehingga 20 hingga 25 tahun.

Selain itu, Jack berkata, Solarvest bukan sekadar pemain tenaga solar, sebaliknya telah berkembang menjadi penyedia ekosistem tenaga bersih yang menyeluruh.

Menurut beliau, Solarvest kini membantu syarikat korporat dan kerajaan melaksanakan pelan peralihan tenaga melalui pelbagai segmen termasuk tenaga solar, hidrogen hijau, infrastruktur kenderaan elektrik (EV), perdagangan sijil tenaga boleh baharu (REC) serta penyelesaian karbon.

“Matlamat kami adalah membantu syarikat mencapai sasaran ESG dan RE100 melalui perancangan tenaga bersih jangka panjang,” katanya.

“Solarvest kini beroperasi di lapan negara dengan Malaysia kekal sebagai pasaran utama. Selain Malaysia, syarikat itu turut mempunyai kehadiran di Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Brunei dan Taiwan,” katanya.

Jack berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kestabilan dasar serta inisiatif kerajaan yang menyokong peralihan tenaga bersih, sekali gus membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI), termasuk pembangunan pusat data yang memerlukan bekalan tenaga hijau.

“Bagi mempercepatkan pembangunan projek tenaga boleh baharu, Solarvest turut bekerjasama dengan firma pelaburan global Brookfield Asset Management yang memiliki aset melebihi AS$1 trilion di seluruh dunia.

“Kerjasama itu menyaksikan Brookfield menjadikan Malaysia sebagai antara pangkalan awal pelaburannya di Asia Tenggara bagi sektor tenaga boleh baharu,” katanya.

Namun, Jack mengakui industri tenaga bersih di rantau Asia masih berdepan cabaran besar, khususnya dari segi penyelarasan dasar tenaga antara negara.

“Setiap negara di Asia Tenggara mempunyai dasar tenaga masing-masing, sekali gus menyukarkan pembangunan rangkaian grid tenaga serantau yang lebih bersepadu.

“Selain itu, Malaysia juga perlu meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Malaysia kini mempunyai sekitar 10 gigawatt kapasiti tenaga boleh baharu, tetapi untuk mencapai sasaran sekitar 50 gigawatt menjelang 2050, negara perlu menambah kira-kira dua gigawatt kapasiti setiap tahun,” katanya.

Dalam masa sama, Solarvest turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi serta tenaga kerja tempatan.

Jelas Jack,syarikat itu telah menubuhkan makmal inovasi sendiri dan melabur dalam teknologi baharu seperti sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi menstabilkan grid apabila penggunaan tenaga boleh baharu meningkat.

Selain itu, Solarvest turut melaksanakan program pembangunan bakat yang telah melahirkan lebih 1,000 tenaga mahir dalam sektor tenaga bersih.-UTUSAN

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN