Sektor pelancongan negara berdepan risiko ketidaktentuan geopolitik Asia Barat - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan negara berdepan risiko ketidaktentuan geopolitik Asia Barat

NEGARA menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan Malaysia, yang muncul sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi tahun lalu, dijangka berdepan risiko ketara susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Apurva Sanghi berkata, sektor tersebut sebelum ini mencatat prestasi memberangsangkan apabila membantu sektor perkhidmatan mencapai tahap tertinggi dalam tempoh lebih 14 tahun.

“Namun, perkembangan konflik global berpotensi menjejaskan aliran pelancong antarabangsa serta sentimen perjalanan, sekali gus memberi tekanan kepada industri tersebut,” katanya ketika pembentangan Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 di Sasana Kijang di sini hari ini.

Pada masa sama, Apurva berkata, setakat ini, Bank Dunia belum terdapat analisis menyeluruh dari sudut sektor mengenai kesan krisis Asia Barat terhadap ekonomi Malaysia, walaupun penilaian terhadap permintaan global terus dilakukan.

“Selain pelancongan, sektor elektrik dan elektronik (E&E), tunjang utama ekonomi negara masih menunjukkan prestasi kukuh buat masa ini, sebahagiannya disokong oleh kelebihan daripada dasar tarif perdagangan global.

“Namun begitu, risiko kekal sekiranya berlaku perubahan dasar perdagangan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, perkembangan seperti pengetatan peraturan asal-usul, isu perdagangan rentas Selat, atau pengenaan semula tarif semikonduktor oleh Amerika Syarikat boleh memberi kesan langsung kepada sektor tersebut.

“Malaysia juga dilihat antara negara ASEAN paling terdedah dari segi nilai tambah domestik dalam sektor E&E, menjadikan sebarang perubahan dasar global sebagai faktor risiko utama.

“Selain itu, konflik melibatkan Iran menimbulkan kebimbangan bahawa penggunaan tarif dan sekatan perdagangan sebagai alat geopolitik akan semakin meningkat, sekali gus menambah ketidaktentuan dalam perdagangan antarabangsa.

“Secara keseluruhan, walaupun beberapa sektor utama masih menunjukkan ketahanan, Bank Dunia menegaskan bahawa prospek ekonomi Malaysia kekal bergantung kepada perkembangan geopolitik global dan hala tuju dasar perdagangan utama dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN