PETALING JAYA: Ringgit dijangka kembali menghampiri paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), susulan pengukuhan ketara mata wang negara itu yang didorong oleh ketidaktentuan global di Asia Barat.
Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup pada paras 4.0280/4.0350, lebih tinggi berbanding penutup 4.0350/4.0400 pada Khamis.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, ringgit dijangka berlegar dalam julat sekitar RM3.90 hingga RM3.95 berbanding dolar AS pada tahun ini.
“Julat ini mencerminkan keseimbangan antara sentimen positif daripada aliran masuk dana asing dan tekanan luaran yang masih belum reda sepenuhnya.
“Kejatuhan ringgit banyak disokong oleh faktor seperti kestabilan harga komoditi, khususnya minyak mentah, serta jangkaan bahawa tekanan kenaikan kadar faedah global semakin berkurangan. Ini memberi sedikit ruang kepada mata wang negara membangun untuk pulih selepas berdepan tekanan sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pergerakan ringgit masih terdedah kepada risiko luaran seperti ketidaktentuan geopolitik, turun naik dolar AS dan sebarang perubahan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.
“Jika dolar AS kembali mengukuh secara agresif, ringgit berpotensi untuk kembali menghampiri paras lemah dalam julat tersebut.
“Seterusnya, ringgit dijangka kekal dalam mod berhati-hati, dengan pergerakan yang cenderung mendatar dalam julat berkenaan selagi tiada pemangkin besar yang mampu mengubah hala tuju pasaran secara ketara,” tambahnya.
Sementara itu, menurut MBSB Research, ringgit telah mengalami tekanan menurun selepas dolar AS meningkat semula berikutan ketidakpastian geopolitik yang semakin meningkat.
Bank pelaburan itu berkata, permintaan untuk aset dalam denominasi dolar meningkat apabila jangkaan pasaran beralih ke arah persekitaran kadar faedah lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama di AS.
“Kebimbangan tenaga dan inflasi yang lebih tinggi secara amnya menambah jangkaan untuk Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadarnya lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama,” katanya.
Menurut MBSB Research, ringgit turut merosot berbanding rakan dagang utama yang lain dengan Indeks Ringgit Berwajaran Perdagangan (TWRI) MBSB mencatatkan penurunan -1.2 peratus kepada 100.47.
Namun, pihaknya kekal positif terhadap prestasi mata wang negara itu bersandarkan daya tahan dan asas pemulihan ekonomi domestik yang utuh.
Katanya, petunjuk ekonomi domestik baru-baru ini terus memperkukuh trajektori pertumbuhan Malaysia, mengekalkan tinjauan positif untuk pasaran tempatan.
Justeru, berdasarkan perkembangan semasa, pihaknya mengekalkan jangkaan bahawa ringgit akan terus mengukuh berbanding dolar AS, dengan membuat semakan semula unjuran purata pada RM3.92 untuk tahun 2026.
Dalam pada itu, pasaran bursa turut mengalami ketidakstabilan apabila ditutup sedikit tinggi semalam pada 1,695.50 berbanding 1,698.30 pada Khamis.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah minggu ini sekali gus memadamkan keuntungan pada Rabu apabila sentimen optimistik merosot dengan ketara susulan ucapan President AS, Donald Trump baru-baru ini.
Menurut beliau, naratif yang menyokong pemulihan pasaran sebelum ini mula terurai, dengan peralihan sektor bertukar defensif hampir serta-merta.
Katanya, dalam ucapan Trump, beliau memberi bayangan kemungkinan tindakan lebih agresif terhadap Iran dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, namun tidak menggariskan sebarang kerangka jelas ke arah penyahketegangan.
“Kenaikan hanya tertumpu kepada sektor komoditi dan saham berkaitan petroleum, manakala sektor pengguna, perindustrian dan perbankan menerajui penurunan. Pergerakan ini mencerminkan pelarasan pantas terhadap risiko apabila jangkaan penyahketegangan di Asia Barat mula ditarik semula.
“Ucapan tersebut dilihat mengecewakan kerana gagal memberikan kejelasan mengenai hala tuju geopolitik, sekali gus menunjukkan pasaran sebelum ini mungkin terlalu cenderung kepada senario terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kelemahan di Malaysia turut dicerminkan di peringkat serantau apabila tekanan jualan jelas ketara di pasaran utama Asia.
“Indeks di Korea Selatan dan Jepun mendahului penurunan, menandakan pengurangan selera risiko secara serentak dan bukannya pelarasan setempat. Sentimen pelabur semakin terjejas apabila jangkaan awal terhadap penyelesaian konflik Iran dalam tempoh terdekat digantikan dengan ketidaktentuan baharu,” katanya. -UTUSAN










