Raia Hotels lebar sayap ke segmen resort di Port Dickson

Raia Hotels lebar sayap ke segmen resort di Port Dickson

MOHD. Shukri Hussin (tengah) bersama Othman Semail (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn Bhd., Muhammad Solleh Ramli (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Rasmi Raia Hotel Port Dickson di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Raia Hotels melebarkan sayap ke segmen resort menerusi pelancaran Raia Hotel Port Dickson, sekali gus menandakan kemasukan pertama jenama itu ke dalam pasaran percutian tepi pantai.

Langkah strategik itu dilaksanakan melalui UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Ia sebagai usaha mempelbagaikan portfolio perniagaan serta melengkapi rangkaian hotel bandar dan konvensyen sedia ada di Alor Setar, Bayan Lepas, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Pengerusi Urusharta Jamaah, Datuk Mohd. Shukri Hussin berkata, pembukaan resort itu bukan sekadar penambahan aset baharu, sebaliknya sebahagian usaha berterusan memperkukuh pelancongan domestik dan industri hospitaliti negara.

“Sejak penubuhannya, UJ Hotels telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan melalui pengurusan rangkaian Raia Hotels yang kini beroperasi di lima lokasi utama di Malaysia, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membangunkan jenama hospitaliti tempatan yang berdaya saing serta mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negara,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rasmi Raia Hotel Port Dickson di sini, semalam.

Beliau berkata, usaha memperluaskan jenama Raia melalui pembangunan seperti Raia Hotel Port Dickson itu selari dengan aspirasi memperkukuh sektor pelancongan domestik serta menyediakan lebih banyak pilihan penginapan berkualiti kepada pengunjung.

Resort berkenaan menawarkan 62 bilik dengan suasana santai tepi pantai, sesuai untuk keluarga, pelancong rekreasi dan kumpulan kecil. 

Ia turut melalui kerja naik taraf dan pengubahsuaian selama kira-kira setahun bagi meningkatkan keselesaan tetamu.

Sementara itu, Pengerusi UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn. Bhd., Datuk Othman Semail berkata, pengembangan ke Port Dickson mencerminkan komitmen Raia Hotels dalam menyediakan perkhidmatan hospitaliti berkualiti dan mampu diakses di lokasi strategik, selaras dengan slogan ‘Hotel Untuk Semua’.

“Pembukaan Raia Hotel Port Dickson hari ini merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperluaskan jenama Raia ke dalam segmen resort dan percutian keluarga.

“Terletak di salah satu destinasi pantai yang popular di Semenanjung Malaysia, Raia Hotel Port Dickson menawarkan suasana percutian santai dengan kemudahan. 

“Ia termasuk kolam renang, akses pantai serta ruang rekreasi yang sesuai untuk keluarga, kumpulan mahupun mereka yang ingin berehat daripada kesibukan kota.

“Kami berharap resort ini bukan sahaja menjadi pilihan penginapan pelancong domestik, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan di Port Dickson serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat,” ujarnya.

Terletak di pesisir Teluk Kemang, resort itu menyediakan akses terus ke pantai, sekali gus menawarkan pengalaman percutian santai serta aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan.

Kemudahan lain termasuk kolam renang yang dinaik taraf untuk dewasa dan kanak-kanak, selain ruang rekreasi terbuka serta landskap luas bagi aktiviti berkumpulan dan perhimpunan kecil.

Dibina berkonsepkan bangunan rendah dan dikelilingi kehijauan tropika, resort itu menawarkan suasana lebih privasi dan santai, sesuai untuk percutian keluarga, hujung minggu serta acara berskala kecil.

Pembangunan resort itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, bagi memanfaatkan potensi pelancongan Port Dickson serta menyumbang kepada ekonomi setempat.

Dengan konsep tepi pantai dan kemudahan mesra keluarga, resort tersebut dijangka menjadi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa yang mencari destinasi percutian santai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN