PETALING JAYA: Proton X50 mengukuhkan kedudukannya sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular di Malaysia apabila mencatat jualan keseluruhan sebanyak 7,571 unit bagi suku pertama tahun ini, dengan 3,265 unit terjual pada Mac.
Jumlah itu meningkat 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, mencerminkan permintaan berterusan terhadap model yang dikemas kini pada Julai 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, syarikat turut memberi penekanan kepada pengalaman pemilikan selain kelebihan produk dalam memastikan kepuasan pelanggan.
“Proton X50 disokong oleh pakej komitmen selepas jualan yang komprehensif bagi memberi kemudahan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan.
“Ia merangkumi Perkhidmatan Pantas, siap servis dalam satu hari serta kenderaan gantian dan servis percuma bagi meningkatkan kemudahan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, selepas kejayaan edisi terhad ‘Black Edition’ pada Mac lalu yang habis dijual, Proton memperkenalkan warna baharu Quartz Black sebagai pilihan utama bagi semua varian model itu bermula April ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, model tersebut kekal sebagai peneraju rangkaian SUV syarikat sejak diperkenalkan pada 2020, didorong kualiti produk serta pemahaman terhadap keperluan pelanggan.
“Pengenalan warna Quartz Black dan penambahbaikan berterusan terhadap pengalaman pelanggan mencerminkan komitmen Proton dalam memenuhi jangkaan pasaran semasa.
“Pembeli kini bukan sekadar memiliki kenderaan, sebaliknya menitikberatkan aspek gaya hidup, identiti dan kebolehpercayaan.
“Sehubungan itu, warna hitam yang ditawarkan bukan sekadar pilihan estetik, malah menjadi simbol imej moden dan keyakinan terhadap model berkenaan,” ujarnya.
Dari segi penampilan, warna Quartz Black menyerlahkan karakter sporty model itu dengan rekaan hadapan yang agresif, garis badan berukir serta postur dinamik yang lebih menonjol.
Kemasan krom dan lampu lampu diod pemancar cahaya (LED) turut tampil lebih kontras, selain warna hitam yang mempunyai nilai praktikal tinggi kerana permintaan konsisten dalam pasaran jualan semula. – UTUSAN










