Proton sasar nilai belian tempatan RM30 bilion

Proton perkukuh ekosistem automotif, sasar nilai belian tempatan RM30 bilion

PROTON Saga baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) memperkukuh komitmennya dalam memacu ekosistem automotif Malaysia dengan menyasarkan nilai pembelian tempatan meningkat kepada RM30 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sasaran itu merupakan lonjakan signifikan berbanding nilai pembelian tempatan berjumlah lebih RM17 bilion yang direkodkan pengeluar kereta nasional itu bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, Proton ditubuhkan dengan matlamat membina keupayaan nasional dan tanggungjawab tersebut terus membimbing syarikat dalam menyokong aspirasi industri serta mobiliti jangka panjang kerajaan.

“Melalui kerjasama erat dan berterusan dengan pihak kerajaan serta pihak berkepentingan industri, Proton akan terus memainkan peranannya dalam memastikan industri automotif Malaysia kekal relevan dan kompetitif ketika ia berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Proton telah membuat pelaburan besar untuk menaik taraf keupayaan termasuk pembesaran kapasiti pembuatan kenderaan dan rangkaian kuasa di Tanjong Malim, Perak, termasuk pemasangan tempatan komponen kenderaan elektrik (EV) utama.

“Penubuhan kilang pemasangan EV dedikasi pertama di Malaysia mengukuhkan peranan syarikat sebagai tunjang agenda kenderaan tenaga baharu (NEV) dan mobiliti generasi akan datang negara.

“Keupayaan teknologi canggih ini berpusat di pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), yang memposisikan AHTV sebagai hab nasional bagi NEV serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengukuhkan daya saing jangka panjang Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai pasaran global, Syed Faisal berkata, Proton secara tekal meluaskan jejak eksportnya ke 18 pasaran antarabangsa dan bercita-cita untuk menggandakan kehadiran tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Peningkatan berterusan dalam kualiti produk, penggunaan teknologi dan kekuatan jenama membolehkan syarikat memperdalam kepercayaan pengguna dan kekal responsif terhadap jangkaan pasaran yang berkembang, sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Langkah ini mencerminkan komitmen Proton dalam memacu kepakaran tempatan, mempercepatkan pemindahan teknologi dan meletakkan Malaysia sebagai pemain kompetitif dalam peralihan global ke arah elektrifikasi,” tambahnya.

Tambah beliau, pencapaian Proton setakat ini turut disokong oleh hala tuju dasar kerajaan yang menggalakkan pembangunan industri dan memberikan kejelasan untuk pelaburan mampan dalam mendepani persekitaran global yang dinamik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN