PETALING JAYA: Proton mencatatkan prestasi jualan yang kukuh pada bulan Mac, sekali gus melonjakkan jumlah jualan suku pertama ke tahap tertinggi dalam tempoh 22 tahun dan terbaik sejak 2004.
Sebanyak 15,706 unit kenderaan telah dijual pada bulan lalu merangkumi model enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in (PHEV).
Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.4 peratus berbanding Februari serta 12.8 peratus lebih tinggi berbanding Mac 2025.
Secara keseluruhan, jumlah jualan bagi suku pertama mencecah 49,140 unit, bersamaan pertumbuhan sebanyak 40.1 peratus dari awal tahun hingga kini.
Proton yang mengatasi trend semasa industri automotif negara, apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan menyusut sebanyak 4.9 peratus dalam tempoh yang sama.
Seiring itu, pegangan pasaran Proton bagi bulan Mac dianggarkan pada 25.1 peratus, manakala pegangan pasaran dari awal tahun hingga kini dijangka mencapai 27.4 peratus iaitu paras tertinggi sejak 2017.
Proton e.MAS pacu pertumbuhan segmen kenderaan tenaga baharu dengan menamatkan tahun 2025 sebagai jenama EV kedua paling popular di Malaysia, manakala Proton e.MAS 7 muncul sebagai model EV dengan jumlah jualan tertinggi di negara ini.
Dengan pengenalan Proton e.MAS 5 serta pelancaran terkini Proton e.MAS 7 PHEV, momentum jualan terus menunjukkan peningkatan ketara.
“Bagi bulan Mac, sebanyak 3,023 unit telah dijual, diterajui oleh Proton e.MAS 5 dengan 2,071 unit.
“Jumlah jualan bagi suku pertama kini mencecah 6,701 unit, sekali gus menjadikannya model EV paling laris di Malaysia.
“Dalam masa sama, sebanyak 646 unit Proton e.MAS 7 PHEV berjaya dijual pada bulan pertama penuh jualannya, manakala Proton e.MAS 7 EV mencatatkan peningkatan untuk bulan kedua berturut-turut kepada 306 unit,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pihaknya amat menghargai sambutan positif rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS sejak pelancarannya pada tahun 2024.
“Program jangkauan komuniti kami untuk memperkenalkan teknologi EV serta usaha membina keyakinan melalui rangkaian pengedar yang komprehensif dan infrastruktur pengecasan yang mudah diakses kini mula membuahkan hasil.
“Pencapaian jualan ini membuktikan penerimaan tersebut dan sasaran kami adalah untuk menjadikan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan tenaga baharu nombor satu menjelang 2026,” katanya.
Dengan tiga pelancaran model baharu dalam suku pertama rangkaian model ICE, Proton kini tampil dengan penambahbaikan dari segi enjin dan teknologi bagi menawarkan nilai yang lebih baik kepada pelanggan. – UTUSAN










