PETALING JAYA: Pengguna di Malaysia dijangka akan mula mengubah corak perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada barangan keperluan harian serta beralih kepada pilihan produk yang lebih murah sekiranya konflik di Asia Barat terus berlarutan.
RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, ketidaktentuan geopolitik itu berisiko menjejaskan sentimen pengguna menerusi tekanan inflasi yang berpunca daripada peningkatan kos tenaga dan gangguan logistik global.
Katanya, dalam situasi pasaran yang mencabar, pengguna berkemungkinan besar akan bersikap lebih berhati-hati dan memilih alternatif harga yang lebih rendah bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup.
“Sekiranya konflik ini berpanjangan, kita akan melihat anjakan ketara dalam perbelanjaan di mana pengguna hanya menumpukan kepada barangan asas. Pemain industri juga dijangka meningkatkan promosi bagi memastikan kadar permintaan kekal stabil,” katanya.
Meskipun berdepan risiko tersebut, RHB Research kekal yakin sektor produk pengguna masih menjadi antara pelaburan paling defensif (bertahan) kerana asas permintaan domestik yang dipacu oleh pasaran buruh yang sihat dan pertumbuhan gaji.
Firma itu turut mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor berkenaan, disokong oleh komitmen kerajaan dalam mengekalkan subsidi bahan api serta bantuan tunai yang membantu mengekang lonjakan inflasi mendadak.
“Setakat ini, kesan kenaikan kos operasi masih terkawal melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), manakala gangguan rantaian bekalan domestik pula kekal pada tahap minimum.
“Bagaimanapun, pengeluar makanan dan minuman (F&B) perlu berwaspada terhadap potensi kenaikan harga bahan mentah seperti resin plastik dan minyak sawit mentah (CPO) yang boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan,” katanya.
Sehubungan itu, pelabur disarankan untuk memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai kuasa penetapan harga yang kukuh dan menawarkan produk keperluan asas.
Antara syarikat yang menjadi pilihan utama ialah Nestle (Malaysia), Farm Fresh, Mr DIY Group, Eco-Shop Marketing dan AEON Co (M) yang dilihat mempunyai daya tahan tinggi dalam mendepani penyusutan sentimen pengguna.
RHB Research menambah, walaupun risiko geopolitik kekal menjadi ancaman, pengukuhan nilai ringgit dan pelaksanaan langkah pengoptimuman kos oleh syarikat tempatan mampu mengurangkan impak negatif krisis tersebut. – UTUSAN










