Momentum peralihan tenaga Asia semakin kukuh

Momentum peralihan tenaga Asia semakin kukuh

M. Huzaini (kiri) dalam pembentangan Tenaga boleh diperbaharui dan tenaga baharu adalah strategik sempena sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peralihan tenaga di Asia kini bergerak dalam momentum berterusan, dengan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui (TBB) semakin didorong oleh keperluan pertumbuhan ekonomi, bukan lagi semata-mata faktor alam sekitar, menurut Gentari.

Ketua strategi dan portfolio Gentari, M. Huzaini Ghazali berkata, peralihan tersebut telah mula berkembang pesat sebelum perkembangan global semasa dan terus bergerak maju secara konsisten.

“Memang tepat kita membincangkan TBB dan tenaga baharu kerana kita dapat melihat bahawa walaupun sebelum situasi semasa, peralihan tenaga bukan sahaja telah mendapat momentum, malah kini berada dalam momentum berterusan. Ia terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pembentangan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Tenaga Baharu Adalah Strategik sempena sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Walaupun kos penjanaan semakin rendah, beliau menekankan cabaran utama kini adalah memastikan kestabilan bekalan tenaga. 

“Sumber boleh diperbaharui bersifat tidak konsisten, berbeza dengan gas yang lebih stabil.

“Sehubungan itu, pelaburan dalam infrastruktur grid, sistem penyimpanan tenaga dan fleksibiliti operasi menjadi keutamaan. 

“Di Malaysia, gabungan solar dan bateri dilihat semakin berdaya maju, tetapi tekanan kini tertumpu kepada keupayaan grid untuk menyokong pertumbuhan tersebut,” katanya. 

Dalam tempoh lima tahun akan datang, jelasnya. pembangunan rangkaian penghantaran berskala besar termasuk talian voltan tinggi dijangka dipercepatkan bagi menampung peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui.

Dalam pada itu, M. Huzaini berkata,  peningkatan mendadak permintaan elektrik adalah susulan pertumbuhan pusat data dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia. 

Katanya, lonjakan pelaburan dalam sektor ini memberi tekanan tambahan kepada sistem tenaga negara.

“Pada masa sama, faktor cuaca tropika yang tidak menentu menjadikan keperluan kepada sistem tenaga yang fleksibel semakin penting, termasuk peranan gas sebagai pelengkap kepada TBB,” katanya. 

Di peringkat serantau, beliau berkata, melihat integrasi tenaga melalui ASEAN Power Grid sebagai pemangkin utama bagi menyeimbangkan bekalan dan permintaan antara negara.

“Setiap negara ASEAN mempunyai kelebihan tersendiri seperti hidro di Laos, angin di Vietnam dan solar di Malaysia yang boleh dikongsi melalui jaringan tenaga serantau. 

“Gentari kini terlibat dalam beberapa projek utama, termasuk usaha membekalkan tenaga kepada Singapura melalui pembangunan solar, angin luar pesisir serta kabel dasar laut merentasi sempadan.

“Antara sasaran utama termasuk menyokong kapasiti pemindahan tenaga sehingga enam gigawatt menjelang 2035, termasuk projek dari kawasan seperti Pulau Batam dan potensi tenaga angin dari Vietnam,” katanya. 

Beliau berkata, walaupun projek multilateral sering berdepan cabaran dari segi regulasi dan struktur tarif, asas kepada kejayaan adalah kepercayaan dan kerjasama antara negara.

“Hubungan lama antara Malaysia, Singapura dan Thailand dilihat sebagai contoh kukuh bagaimana integrasi tenaga boleh berkembang secara berperingkat bermula dengan kerjasama bilateral sebelum ke peringkat multilateral,” katanya. 

  1. Huzaini berkata, pembangunan infrastruktur tenaga memerlukan pelaburan besar dalam tempoh panjang, sehingga 25 hingga 30 tahun. 

“Justeru itu, kepastian dasar dan rangka kerja regulasi yang stabil amat penting untuk menarik modal swasta.

“Pelaburan akan mengalir ke sektor yang mempunyai pulangan jelas, kestabilan dan kebolehjangkaan. Tanpa elemen ini, sukar untuk menarik pembiayaan swasta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN