PETALING JAYA: Jenama aiskrim dan minuman teh, MIXUE melancarkan kempen ‘100 Snow King Tour’ di Malaysia dengan Pulau Pinang sebagai lokasi pertama dalam usaha memperkukuh jenama serta merangsang perbelanjaan pengguna menerusi pengalaman runcit interaktif.
Kempen tersebut berlangsung di Gurney Paragon Mall, Festival Square (Aras 1) dari 2 hingga 15 April 2026 dengan konsep acara fizikal yang menampilkan elemen hiburan, interaksi pelanggan serta pemasaran berasaskan pengalaman.
Menurut kenyataan, sebagai tarikan utama, MIXUE menampilkan pemasangan maskot Snow King setinggi 10 meter, sekali gus antara yang terbesar pernah dipamerkan di negara ini, bagi menarik kehadiran pengunjung ke pusat beli-belah berkenaan.
“Selain itu, sebanyak 30 arca Snow King dengan pelbagai tema turut dipamerkan bagi meningkatkan penglibatan pengunjung serta memanjangkan tempoh kunjungan di lokasi acara.
“Dalam pada itu, syarikat turut memperkenalkan inisiatif penebusan aiskrim percuma melalui aktiviti interaktif yang memerlukan pengunjung melengkapkan tugasan tertentu termasuk perkongsian di media sosial.
“Pendekatan tersebut dilihat sebagai strategi meningkatkan keterlihatan jenama secara organik di platform digital, di samping memperluas capaian pengguna khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Pada masa sama, MIXUE menawarkan perisa aiskrim edisi terhad sepanjang tempoh kempen bagi mempelbagaikan produk serta merangsang jualan.
“Pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan eksklusif seperti kotak misteri, patung lembut dan bantal, yang dijangka menyumbang kepada pendapatan sampingan menerusi jualan runcit.
“Bagi meningkatkan lagi tarikan, maskot Snow King akan membuat penampilan khas di sekitar pusat beli-belah tersebut pada 3 hingga 5 April serta 10 hingga 12 April 2026, dari pukul 6 petang hingga 8 malam,” ujarnya.
Kempen ‘100 Snow King Tour’ merupakan sebahagian daripada strategi peluasan jenama MIXUE di Malaysia dengan fokus kepada pengukuhan kehadiran pasaran serta penglibatan komuniti pengguna secara lebih menyeluruh. – UTUSAN










