KUALA LUMPUR: Manforce Group Berhad (Manforce) sasar meraih RM30.40 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Syarikat yang dijadualkan tersenarai pada 6 Mei 2026 itu akan menerbitkan 79.99 juta saham baharu pada harga 38 sen sesaham.
Terbitan saham baharu itu mewakili 20 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan kepada 399.98 juta saham, selain tawaran jualan sebanyak 19.99 juta saham sedia ada atau lima peratus daripada modal saham terbitan tersebut.
Pengarah Urusan Manforce, Datuk Wong Boon Ming berkata, langkah penyenaraian itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap rekod prestasi serta komitmen syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga kerja yang patuh dan berasaskan teknologi.
“Hasil IPO akan digunakan bagi mengembangkan kapasiti pengurusan pekerja, meningkatkan sistem digital serta memperkukuh kecekapan operasi untuk menyokong pertumbuhan masa depan,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat di sini, semalam.
Daripada jumlah hasil IPO itu, sebanyak RM14.74 juta diperuntukkan bagi pengembangan operasi melalui pengambilan pekerja baharu, peningkatan sistem teknologi maklumat dan operasi (RM4.64 juta), modal kerja (RM6.32 juta), manakala perbelanjaan penyenaraian (RM4.70 juta).
Sementara itu, Ketua Jualan dan Pemasaran Manforce, Wong Chen An berkata, permintaan terhadap tenaga kerja tidak memberi kesan ketara kepada operasi syarikat setakat ini susulan ketegangan geopolitik dan kenaikan harga minyak.
“Isu ini sememangnya memberi kesan kepada semua pihak, namun bagi kami impaknya tidak begitu ketara.
“Sejak Mei 2024, kemasukan pekerja baharu hampir terhenti selama dua tahun, menyebabkan majikan berdepan kekurangan tenaga kerja.
“Justeru, permintaan semasa lebih tertumpu kepada memenuhi kekosongan sedia ada, bukannya untuk tujuan pengembangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat tidak merancang untuk memperluaskan operasi ke luar Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Sebaliknya, katanya, fokus utama adalah untuk memperkukuh pangkalan pelanggan, khususnya dalam kalangan syarikat yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Banyak syarikat tersenarai dan bakal tersenarai memerlukan perkhidmatan kami, sekali gus membuka peluang pertumbuhan yang signifikan,” katanya.
M & A Securities Sdn. Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO tersebut, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Kewangan untuk Kumpulan. – UTUSAN










