Malaysia catat lebih 3.3 juta ancaman siber

Malaysia catat lebih 3.3 juta ancaman siber, kedua tertinggi di Asia Tenggara

MALAYSIA mencatatkan sebanyak 3.36 juta pengesanan ancaman berasaskan web sepanjang 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menjadi sasaran utama penjenayah siber di rantau ini apabila mencatatkan sebanyak 3.36 juta pengesanan ancaman berasaskan web sepanjang 2025, kata Kaspersky.

Berdasarkan data terbaharu daripada syarikat keselamatan siber global itu, jumlah tersebut adalah kedua tertinggi di Asia Tenggara, mengekori Vietnam yang menduduki tempat pertama dengan lebih 8.4 juta ancaman.

Secara keseluruhan, Kaspersky berjaya mengesan dan menyekat lebih 18 juta serangan berniat jahat di seluruh rantau ini, yang merangkumi laman web diceroboh, muat turun berbahaya dan pelbagai vektor serangan dalam talian lain.

Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky, Adrian Hia berkata, walaupun jumlah ancaman web yang dikesan terhadap pengguna perniagaan di rantau ini secara kuantitatif menunjukkan penurunan, trend serangan kini menjadi lebih kompleks.

“Ancaman terhadap persekitaran perusahaan terus berkembang dari segi kuantiti dan kerumitan. Saya yakin pelaburan terhadap penyelesaian dan perkhidmatan keselamatan siber akan menjadi keutamaan teknologi pada tahun ini dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Data pengesanan ancaman web Kaspersky bagi 2025 menunjukkan Indonesia berada di tempat ketiga dengan 3.02 juta kes, diikuti Singapura (1.37 juta), Thailand (1.2 juta) dan Filipina (621,984).

Peningkatan serangan ini mencerminkan kepesatan ekonomi digital di Asia Tenggara yang kini bernilai kira-kira AS$300 bilion (RM1.26 trilion) dan diunjurkan mencapai AS$1 trilion (RM4.2 trilion) menjelang 2030, mengikut Forum Ekonomi Dunia.

Tambah Adrian, perbelanjaan teknologi di Asia Pasifik dijangka meningkat sebanyak 9.8 peratus pada 2026, dengan keselamatan siber menjadi antara segmen pelaburan paling kritikal bagi melindungi data peribadi, kredibiliti akaun dan maklumat sensitif kerajaan.

“Bagi mengurangkan risiko ancaman siber, organisasi dinasihatkan supaya sentiasa mengemas kini sistem operasi, menggunakan kata laluan yang unik dan kuat serta mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA),” tambahnya. 

Selain itu, syarikat juga digalakkan untuk memperkukuh kawalan keselamatan dengan penyelesaian berasaskan kepintaran ancaman global dan pemantauan 24 jam bagi menyiasat serta bertindak balas dengan pantas terhadap serangan siber yang sofistikated.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×