Malaysia berpotensi pacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor jentera, bahan kimia - Utusan Malaysia

Malaysia berpotensi pacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor jentera, bahan kimia

APURVA SANGHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai asas kukuh untuk melonjak ke tahap ekonomi lebih kompleks, khususnya dalam sektor jentera berteknologi tinggi dan bahan kimia bagi meningkatkan pertumbuhan serta kesejahteraan rakyat.

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Apurva Sanghi berkata, Malaysia telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya beralih daripada sebuah ekonomi berasaskan komoditi asas kepada pengeluaran produk bernilai tinggi dan lebih kompleks.

Katanya, peralihan ini dilihat sebagai kejayaan penting dalam sejarah pembangunan ekonomi negara.

“Transformasi tersebut dicapai melalui strategi seperti pengimportan teknologi, pembelajaran daripada pemain global terbaik serta pembangunan keupayaan industri tempatan.

“Pendekatan ini membolehkan Malaysia meningkatkan nilai tambah dalam sektor komoditi dan seterusnya memperkukuh daya saing,” katanya ketika pembentangan Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 di Sasana Kijang di sini hari ini.

Berdasarkan dapatan semasa, jelasnya, sektor yang paling hampir dengan keupayaan sedia ada Malaysia untuk diperkembangkan ialah industri jentera kompleks dan bahan kimia berteknologi tinggi.

“Pengembangan sektor-sektor ini dijangka mampu meningkatkan tahap kompleksiti ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Apurva berkata, tahap kompleksiti ekonomi yang lebih tinggi berkait rapat dengan hasil pertumbuhan yang lebih baik serta peningkatan pendapatan per kapita.

“Sebaliknya, ekonomi yang hanya bergantung kepada eksport komoditi asas terdedah kepada turun naik harga global dan menawarkan peluang pekerjaan bernilai rendah.

“Semakin kompleks barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan, semakin tinggi potensi negara untuk menjana pekerjaan berkualiti dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, walaupun kadar pengangguran Malaysia kini berada pada paras terendah dalam tempoh lebih 14 tahun, isu lain seperti guna tenaga tidak penuh dan ketidakpadanan kemahiran masih menjadi cabaran utama.

“Fokus laporan akan datang adalah terhadap usaha Malaysia dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi, selari dengan keperluan ekonomi yang semakin kompleks dan berteknologi tinggi.

“Secara keseluruhan, langkah meningkatkan kompleksiti ekonomi dilihat sebagai kunci utama untuk memastikan pertumbuhan mampan serta peningkatan taraf hidup rakyat dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN