KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi hab pelaburan serantau menerusi pembangunan produk dana dagangan bursa (ETF), sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran domestik semata-mata.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, strategi itu bertujuan memperluas skop pelaburan dengan membolehkan pelabur mengakses aset di seluruh ASEAN melalui platform tempatan, sekali gus meningkatkan daya tarikan pasaran modal negara.
“Pendekatan berkenaan juga membolehkan Malaysia menarik kemasukan dana antarabangsa tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada syarikat atau bon tempatan.
“ETF adalah pemudah cara penting kerana produk itu disenaraikan di Bursa Malaysia, tetapi aset asasnya boleh berada di negara lain dalam ASEAN,” katanya pada sidang media Pelancaran Laporan Tahunan 2025 (AR2025), di sini, semalam.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan usaha meningkatkan saiz pasaran modal negara, termasuk sasaran jangka panjang untuk mencapai nilai lebih besar melalui kepelbagaian produk pelaburan.
“Pada masa sama, SC turut memberi tumpuan kepada pembangunan ETF patuh syariah merentasi ASEAN bagi menarik minat pelabur Islam global.
“SC kini sedang membangunkan alat saringan syariah serantau bagi mengenal pasti saham patuh syariah di negara ASEAN, termasuk Indonesia dan Singapura.
“Ini membolehkan kita membina ETF yang bukan hanya bergantung kepada saham Malaysia, tetapi turut merangkumi syarikat serantau yang memenuhi kriteria syariah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui jumlah ETF di Malaysia masih rendah berbanding negara lain, dengan hanya sekitar 30 produk ketika ini, jauh ketinggalan berbanding pasaran seperti Korea Selatan dan China.
“Justeru itu, usaha memperbanyakkan penyenaraian ETF adalah penting bagi meningkatkan kecairan pasaran serta menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelabur,” katanya.
Mengulas aliran modal global, beliau berkata, terdapat pergerakan dana keluar dari beberapa rantau seperti Asia Barat yang boleh dimanfaatkan Malaysia, namun menegaskan negara perlu menyediakan produk pelaburan yang menarik untuk bersaing.
“Bukan hanya soal pulangan, tetapi juga apa yang boleh dilaburkan. Kita perlu pastikan terdapat produk berkualiti untuk menarik pelabur.
“Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada pelabur jangka panjang seperti institusi tempatan bagi memastikan kestabilan pasaran, berbanding bergantung kepada aliran dana asing yang bersifat sementara.
“Strategi itu diharap dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serantau yang lebih kompetitif dalam tempoh jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










