PETALING JAYA: Kadar pengangguran pada Februari 2026 kekal pada 2.9 peratus, mencatatkan bilangan penganggur yang lebih rendah iaitu 506, 800 orang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi Malaysia secara keseluruhan pada Februari 2026 kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti berkaitan pelaburan.
“Kedudukan ekonomi ini turut dicerminkan oleh pasaran buruh yang kekal stabil di samping memperlihatkan isyarat awal berlakunya penyesuaian struktur secara beransur-ansur.
“Sehubungan itu, tenaga buruh pada bulan tersebut terus mencatatkan peningkatan, naik 0.1 peratus kepada 17.30 juta orang berbanding Januari 2026 17.28 juta orang. Kadar penyertaan tenaga buruh Februari kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, bilangan penduduk bekerja pada Februari 2026 terus meningkat, merekodkan sedikit pertambahan 0.1 peratus kepada 16.79 juta orang berbanding 16.77 juta orang pada Januari 2026.
“Sementara itu, bilangan penganggur menurun 0.6 peratus kepada 506,800 orang berbanding Januari 2026: 509.6 ribu orang.
“Kadar pengangguran pada Februari 2026 kekal 2.9 peratus, seperti bulan sebelumnya,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah bilangan penduduk bekerja.
“Kategori ini naik 0.1 peratus kepada 12.59 juta orang berbanding Januari 2026: 12.59 juta orang.
“Di samping itu, bilangan penduduk bekerja sendiri meningkat 0.3 peratus kepada 3.13 juta orang berbanding Januari 2026: 3.13 juta orang,” katanya.
Selain itu, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan berada dalam trend peningkatan pada Februari 2026.
“Dalam sektor tersebut, aktiviti perdagangan borong dan runcit kekal sebagai penyumbang utama, diikuti oleh aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman serta aktiviti Maklumat dan komunikasi.
“Guna tenaga dalam sektor pertanian, pembuatan, pembinaan juga merekodkan pertambahan, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, bilangan individu yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan penurunan 0.9 peratus kepada 240,400 orang pada bulan tersebut, berbanding 242.7 ribu orang pada bulan lalu.
“Sebaliknya, guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, yang merujuk kepada mereka yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu namun bersedia dan mampu untuk bekerja lebih masa, menurun 2.1 peratus kepada 130.7 ribu orang berbanding Januari 2026 133,500 orang.
“Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa adalah 0.8 peratus pada Februari 2026, sama seperti pada Januari 2026,” katanya. -UTUSAN










