PETALING JAYA: Prospek jualan kenderaan diesel dijangka terjejas tahun ini dengan kesan lebih ketara pada segmen kegunaan komersial berbanding persendirian, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan berkata, peningkatan harga diesel di Semenanjung Malaysia dijangka mendorong pengendali lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modal, selain menangguhkan rancangan perluasan armada.
“Isu kenaikan mendadak harga bahan api itu dikhuatiri memberi tekanan amat besar, terutamanya kepada syarikat dalam aktiviti logistik, pengangkutan barangan serta pengendali lori dan bas.
“Diesel yang mahal terus meningkatkan kos pengangkutan.
“Ia sekali gus menyebabkan operator mengurangkan pembelian baharu atau mencari alternatif enjin yang lebih jimat minyak,” katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB Research berkata, pengendali juga dijangka mengoptimumkan penggunaan kenderaan diesel sedia ada, sekali gus menjadikan sektor automotif berdepan tekanan sederhana tahun ini berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Setakat ini, kenderaan berenjin petrol masih mendominasi pasaran automotif di Malaysia dengan pegangan sekitar 85 peratus, diikuti diesel (enam peratus), kenderaan elektrik atau EV (lima peratus) dan hibrid (empat peratus).
“Situasi ini berlaku susulan kitaran penggantian kenderaan lama kepada model baharu yang mula perlahan, dipengaruhi peningkatan kos bahan api yang mengekang permintaan pengguna.
“Kami menjangka jumlah volum industri (TIV) bagi 2026 kembali normal kepada 788,000 unit, susut empat peratus tahun ke tahun selepas pertumbuhan empat tahun berturut-turut,” katanya.
Firma itu turut menekankan bahawa kenaikan kos bahan api semasa, dipacu faktor luaran seperti konflik geopolitik antarabangsa, memberi kesan kepada permintaan minyak.
“Walaupun subsidi bersasar RON95 membantu mengekalkan kos bagi pengguna massa, peningkatan harga bagi pengguna tidak bersubsidi dijangka mempercepatkan peralihan kepada kenderaan lebih cekap bahan api,” jelasnya.
Seiring prospek sektor automotif tempatan yang lebih mencabar, MBSB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap MBM Resources Berhad dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM6.00 sesaham.
“Syarikat pengedaran pelbagai jenama itu disokong pendedahan kukuh kepada Perodua dalam segmen pasaran massa yang berdaya tahan,” jelasnya. – UTUSAN










