KAEDAH pemasaran tradisional seperti pemasangan kain rentang di pagar dan edaran risalah yang masih berleluasa dalam sektor hartanah mencerminkan kegagalan struktur dalam ekosistem industri berkenaan.
Walaupun negara sedang pesat menuju ke arah pendigitalan, lambakan iklan yang tidak tersusun ini dilihat bukan lagi satu strategi yang berkesan, sebaliknya menjadi gangguan yang menghalang kelancaran transaksi sebenar.
Pengasas Bersama MyRumahBaru, Melvin Soh berkata, situasi tersebut menunjukkan masalah yang lebih mendalam apabila pasaran hartanah kini lebih banyak dibina berasaskan usaha menarik perhatian berbanding memuktamadkan urusan jual beli.
“Pasaran ini seolah-olah direka hanya untuk menarik minat orang ramai, bukannya untuk memudahkan transaksi. Apabila fokus utama adalah untuk mendapatkan perhatian, sistem akan dipenuhi dengan maklumat yang tidak relevan.
“Lambakan maklumat seperti iklan yang berulang, senarai rumah yang tidak sahih serta hantaran rawak di pelbagai platform bukan sekadar isu pemasaran, tetapi petunjuk kepada sistem yang tidak selari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, ketidakcekapan ini berlaku kerana pemaju, ejen, platform iklan dan pembeli bergerak dalam haluan yang berbeza dengan jangka masa serta maklumat yang tidak sepadan.
Jelasnya, setiap pihak mempunyai tafsiran tersendiri mengenai profil ‘pembeli sedia ada’, namun apabila tiada pihak yang memikul tanggungjawab terhadap hasil akhir, banyak potensi urus niaga akhirnya gagal di tengah jalan.
“Malaysia sebenarnya tidak pernah kekurangan senarai hartanah (listing). Apa yang tidak mencukupi adalah padanan yang berkualiti antara pembeli yang benar-benar bersedia dengan ejen yang tepat pada masa yang sesuai,” tambahnya.
Mengulas mengenai penggunaan teknologi, Melvin memberi amaran bahawa automasi dan kecerdasan buatan (AI) bukan penyelesaian mutlak jika asas data yang digunakan tidak kukuh.
Kata beliau, AI berisiko menyebarkan maklumat yang tidak tepat pada skala yang lebih besar jika data asal tidak disahkan terlebih dahulu.
“Ini memberi kesan besar kepada kepercayaan pengguna kerana pembelian hartanah melibatkan komitmen kewangan terbesar bagi seseorang individu. Kegagalan sistem ini akhirnya akan menghakis keyakinan pembeli terhadap keseluruhan ekosistem,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemain industri untuk beralih daripada model yang mementingkan jumlah trafik dan iklan kepada pendekatan yang menekankan hasil akhir iaitu transaksi yang berjaya.
Langkah penstrukturan semula yang menekankan ketelusan data dan akauntabiliti dilihat kritikal bagi memastikan pasaran hartanah negara kekal mampan serta berfungsi dengan lebih efisien pada masa hadapan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, ketidakcekapan dalam memadankan pembeli dan penjual ini boleh mengakibatkan kesan rantaian terhadap ekonomi negara, terutamanya isu lambakan hartanah yang tidak terjual.
Menurut beliau, apabila maklumat pasaran tidak telus, modal yang sepatutnya berputar dalam ekonomi akan ‘terkunci’ pada unit-unit kediaman yang gagal dipasarkan dengan efektif.
“Hal ini bukan sahaja menjejaskan aliran tunai pemaju, malah dalam jangka masa panjang, ia boleh memberi tekanan kepada sektor perbankan melalui peningkatan risiko pinjaman serta mengurangkan sumbangan sektor hartanah terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Tamba beliau, kos lepas (opportunity cost) akibat kegagalan transaksi ini amat besar, memandangkan sektor hartanah mempunyai hubung kait dengan lebih 140 industri sokongan lain termasuk pembinaan, perabot dan perkhidmatan guaman.
“Apabila pasaran dipenuhi dengan maklumat yang mengelirukan, kitaran ekonomi domestik menjadi perlahan kerana keyakinan pelabur dan kuasa beli pengguna terjejas.
“Jika isu ini tidak ditangani melalui penyelarasan data yang lebih baik, ia dikhuatiri akan mewujudkan ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan yang akhirnya boleh menjejaskan kestabilan harga hartanah secara menyeluruh di peringkat nasional,” tambahnya. – UTUSAN











