Eksport negara berasas komoditi dijangka jadi pemacu utama

Eksport negara berasas komoditi dijangka jadi pemacu utama dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eksport berasaskan komoditi, khususnya minyak mentah, produk petroleum ditapis dan minyak sawit, dijangka menjadi pemacu utama prestasi eksport Malaysia dalam jangka masa terdekat, kata CGS International.

Ahli Ekonominya, Mas Aida Che Mansor berkata, perkembangan ini didorong oleh peningkatan harga serta volum penghantaran, apabila data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan eksport produk petroleum dan minyak mentah berkembang secara tahun ke tahun pada Mac 2026. 

Katanya, eksport minyak sawit turut mencatat prestasi kukuh, berkemungkinan disokong oleh pembelian awal oleh China susulan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan.

“Pertumbuhan eksport tahun ke tahun bagi suku pertama 2026 sebanyak 12.7 peratus mengatasi suku pertama 2025 yang mencatatkan 4.3 peratus, menunjukkan kesan asas terus menyokong prestasi eksport. 

“Pada masa sama, volum eksport juga lebih kukuh pada suku pertama 2026 berbanding suku sama 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, Mas Aida berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi tonggak utama, dengan penghantaran kekal dalam wilayah positif. 

Jelasnya, jualan semikonduktor global pada Februari 2026 mencatat pertumbuhan tertinggi dalam tempoh lebih 30 tahun, manakala rantau Asia Pasifik merekodkan pertumbuhan melebihi 90 peratus tahun ke tahun, didorong oleh permintaan berterusan terhadap teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Namun begitu, segmen pembuatan bukan E&E masih menekan momentum keseluruhan. Beberapa kategori termasuk bahan kimia dan produk kimia terus mencatatkan penurunan dua digit pada Mac 2026, mencerminkan kelemahan permintaan global yang berterusan.

“Dalam pada itu, risiko penurunan kekal ketara susulan ketegangan geopolitik berpanjangan di Asia Barat yang berpotensi mengganggu bekalan tenaga dan laluan perkapalan global. 

“Walaupun kenaikan harga komoditi boleh menyokong nilai eksport, ia juga berisiko menjejaskan volum perdagangan global serta aktiviti pembuatan,” ujarnya.

Beliau berkata, eksport Malaysia dijangka kekal positif sekurang-kurangnya dalam separuh pertama 2026, namun prospek seterusnya bergantung kepada perkembangan geopolitik dan kestabilan rantaian bekalan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN