KUALA LUMPUR : Pengurangan kuota subsidi diesel daripada 6,999 liter kepada 5,000 liter bermula 1 Jun ini dibimbangi memberi kesan besar kepada industri pengangkutan, seterusnya meningkatkan harga pelbagai barangan keperluan rakyat.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Daniel Khoo berkata, kuota sedia ada ketika ini pun tidak mencukupi bagi kebanyakan syarikat pengangkutan terutama pengusaha lori treler.
Daniel yang memiliki syarikat pengangkutan lori treler lebih sedekad turut berkata, pengurangan kuota subsidi itu akan menyebabkan kos operasi syarikat meningkat dengan ketara.
“Dalam industri pengangkutan, diesel merupakan komponen utama operasi harian. Kuota sedia ada pun sebenarnya tidak mencukupi untuk banyak syarikat, apatah lagi apabila dikurangkan kepada 5,000 liter.
“Apabila kos operasi lori meningkat, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat pengangkutan tetapi akan memberi kesan rantaian kepada pelbagai industri lain,” katanya.
Katanya lagi, hampir semua sektor termasuk pembinaan, kilang makanan, logistik barangan, pemborongan serta pengedaran sayur-sayuran bergantung kepada pengangkutan lori.
Jelasnya, peningkatan kos pengangkutan akhirnya akan dipindahkan kepada pemilik industri dan pengeluar sebelum diterjemahkan kepada kenaikan harga barang di pasaran.
“Bila kos pengangkutan naik, syarikat tiada pilihan selain menaikkan caj penghantaran. Akhirnya harga bahan binaan seperti pasir dan batu, termasuk produk kilang serta barangan keperluan lain juga akan meningkat.
“Yang paling terkesan nanti adalah rakyat kerana kenaikan kos itu akan sampai terus kepada pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, Daniel menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menilai semula keputusan pengurangan kuota subsidi diesel tersebut bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap industri pengangkutan dan kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, langkah itu perlu diperhalusi dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta cabaran sebenar dihadapi pengusaha pengangkutan yang menjadi tulang belakang rantaian bekalan negara.-UTUSAN










