Ekonomi Malaysia dijangka 5.3 peratus pada suku tahun pertama 

Ekonomi Malaysia dijangka 5.3 peratus pada suku tahun pertama 

PRESTASI ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama 2026 mencerminkan ekonomi yang kekal berdaya tahan secara asasnya, meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2026, menyederhana daripada pertumbuhan 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya. 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama 2026 mencerminkan ekonomi yang kekal berdaya tahan secara asasnya, meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Menurutnya, ia khususnya disebabkan kenaikan harga minyak berikutan ketegangan geopolitik. 

“Sektor pembuatan mengekalkan momentum positif dalam dua bulan pertama 2026 dengan pengeluaran berkembang masing-masing sebanyak 7.3 peratus dan 4.2 peratus, didorong terutamanya oleh industri berorientasikan eksport. 

“Perbelanjaan bermusim sempena Tahun Baharu Cina, di samping persiapan menjelang bulan ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, terus menyokong aktiviti ekonomi keseluruhan. 

“Faktor ini menyumbang kepada pertumbuhan yang stabil dalam jualan perdagangan borong dan runcit, meningkat sebanyak 7.3 peratus pada Januari dan 5.3 peratus pada Februari 2026. 

“Ia seiring dengan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelaksanaan fasa kedua semakan gaji penjawat awam,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, dari sudut luaran, aktiviti perdagangan kekal disokong oleh pengembangan berterusan dalam kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Sementara itu, prestasi sektoral pada suku tahun pertama 2026 memperlihatkan momentum pertumbuhan ekonomi yang menyederhana merentas lima sektor utama. 

“Sektor Perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding 6.3 peratus suku keempat 2025.

“Prestasi sektor ini didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, mencerminkan perbelanjaan pengguna yang kekal mampan. 

“Ia selain disokong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan pendapatan isi rumah serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan rakyat yang merangsang aktiviti isi rumah,” jelasnya. 

Subsektor maklumat dan komunikasi turut menyumbang kepada prestasi pada suku tahun ini yang disokong oleh peningkatan permintaan terhadap aktiviti berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan. 

“Sektor pembuatan turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus berbanding 6.1 peratus pada suku keempat 2025.

“Ini disokong sebahagian besarnya oleh peningkatan kukuh dalam pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta pemprosesan makanan.

“Sektor pembinaan pula mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada suku tahun ini sebanyak 7.8 peratus berbanding 11 perarus pada suku keempat 2025, disokong terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas serta bangunan bukan kediaman. 

“Sektor pertanian berkembang sebanyak 2.8 peratus berbanding 5.4 peratus apda suku keempat 2025, didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor kelapa sawit dan ternakan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, sektor perlombongan dan pengkuarian merosot kepada negatif 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 2.0 peratus pada suku tahun sebelumnya, sejajar dengan pengeluaran yang lebih rendah, khususnya bagi minyak mentah dan kondensat serta gas asli.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN