PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian kejuruteraan kuasa, EI Power Berhad (EIP) memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. sempena tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
EIP, yang mempunyai rekod prestasi selama 16 tahun, pakar dalam penyediaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi penyelesaian kuasa kritikal, konvensional, dan tenaga boleh baharu (TBB) untuk pelbagai sektor termasuk pusat data dan kilang semikonduktor.
Langkah IPO ini melibatkan terbitan awam sebanyak 129.5 juta saham baharu, mewakili 18.5 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, serta tawaran jualan sebanyak 70.0 juta saham sedia ada.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EIP, Ir. Albert Chang Wan Siong berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat untuk meningkatkan operasi dan memperluas keupayaan pasaran ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Hasil daripada IPO ini akan digunakan untuk menyokong inisiatif strategik kami, termasuk meningkatkan kapasiti operasi, menambah baik penawaran perkhidmatan, serta memperluas jejak geografi kami ke Thailand.
“Langkah ini bertujuan membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan kekal kompetitif dalam pasaran yang berkembang pesat, terutamanya dengan peningkatan keperluan penyelesaian kuasa yang cekap,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, trend penempatan semula pengeluar semikonduktor dan elektronik multinasional ke Malaysia telah meningkatkan permintaan terhadap infrastruktur kuasa berkapasiti tinggi yang stabil dan tanpa gangguan.
Di bawah perjanjian taja jamin tersebut, M&A Securities akan menaja jamin sebanyak 66.5 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, peruntukan borang merah jambu (Pink Form), dan pemegang saham berkelayakan OCK Group Berhad.
Baki saham terbitan awam dan saham tawaran jualan pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pelabur terpilih.
EIP yang beribu pejabat di Shah Alam diiktiraf sebagai Kontraktor Elektrik Kelas A oleh Suruhanjaya Tenaga dan berdaftar sebagai Kontraktor Gred G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Syarikat itu dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang suku kedua tahun 2026, dengan M&A Securities bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Agen Penempatan bagi urusan IPO ini.-UTUSAN










