KUALA LUMPUR: Jenama kafe dan pastri tempatan, Dotty’s Pastries & Coffee memperluaskan pasarannya kepada segmen barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) sebagai pemacu pertumbuhan baharu, selari perubahan permintaan pasaran dan strategi pengembangan jangka panjang syarikat.
Pengurus Kanan Komersial dan Pembangunan Continuum Hospitality Group, Kaylee Low berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan kebergantungan terhadap cawangan fizikal, selain membolehkan produk Dotty’s menembusi pasaran lebih luas termasuk di luar negara.
Katanya, syarikat kini mempunyai kira-kira 10 produk dalam segmen berkenaan dan sebahagiannya termasuk produk granola telah menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Antara produk kami termasuk coklat kunafa pistachio yang mendapat sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan pada penghujung 2024.
“Selain itu, rangkaian produk lain merangkumi granola, biskut, snek kacang serta inovasi seperti croissant cereal yang menggunakan asas pastri sebagai alternatif bijirin sarapan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di cawangannya di Suria KLCC baru-baru ini.
Beliau berkata, segmen FMCG membolehkan pelanggan membawa produk Dotty’s ke mana sahaja, termasuk ke luar negara, berbanding hanya bergantung kepada pengalaman di kafe,
“Walaupun outlet fizikal kekal sebagai teras jenama, syarikat kini aktif memperluas saluran jualan menerusi platform digital seperti Shopee dan TikTok Shop, di samping memperkukuh kerjasama pengedaran dengan pasar raya dan rakan niaga strategik lain.
“Produk FMCG Dotty’s mengekalkan identiti jenama dengan menampilkan sentuhan rasa tempatan seperti salted egg dan gula Melaka dan kari, sekali gus membezakan tawaran syarikat di pasaran,” ujarnya.
Dalam usaha memperluas capaian, beliau berkata, Dotty’s juga telah mula menembusi pasaran runcit melalui kerjasama dengan pasar raya Qra sejak Februari lalu.
Mengulas prospek antarabangsa, beliau berkata permintaan terhadap produk Dotty’s turut datang dari pasaran seperti Brunei, Indonesia dan Hong Kong, malah terdapat pelanggan yang membawa produk tersebut ke luar negara.
Dalam jangka panjang, Kaylee berkata, syarikat merancang untuk membawa produk Dotty’s ke pasaran antarabangsa melalui FMCG. – UTUSAN









