KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengumumkan Kemudahan Khas berjumlah RM5 bilion di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kemudahan ini melengkapi tambahan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan sebelum ini khusus untuk menyokong PMKS yang terkesan mengharungi tekanan kos susulan krisis tenaga global.
Penambahan ini bagi memperkukuh sokongan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) khususnya dalam sektor logistik, pertanian dan pembinaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim jaminan itu turut diperkukuh dengan kadar jaminan dinaikkan daripada 70 peratus kepada 80 peratus, manakala tempoh pembiayaan dilanjutkan daripada tujuh kepada 10 tahun.
Beliau berkata, BNM juga diminta mempercepat penyaluran kemudahan berkenaan termasuk mengumumkan tambahan RM5 bilion dalam masa terdekat.
“Inisiatif ini memberi penekanan kepada penglibatan syarikat kecil termasuk sektor pertanian, pekebun kecil, nelayan, penjaja serta pengusaha warung dan restoran kecil supaya tidak terpinggir daripada akses pembiayaan.
“Kerajaan turut memberi jaminan proses kelulusan akan dipercepatkan bagi memastikan bantuan disalurkan dengan lebih cekap dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya pada Sidang Media Meja Bulat bersama Ketua Pegawai Eksekutif bank-bank Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP bersama beberapa langkah segera bagi meringankan beban PMKS susulan krisis tenaga global.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi mempercepat pelaksanaannya.
Katanya, kerajaan mengambil pendekatan bantuan lebih bersasar berdasarkan pengalaman krisis lalu termasuk krisis kewangan Asia dan pandemik COVID-19.
“Bantuan dan subsidi akan ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara,” katanya. – UTUSAN










