PETALING JAYA: Batik Air Malaysia akan mengurangkan 35 peratus daripada jadual penerbangannya pada separuh pertama April, sekali gus menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada pekerja.
Berdasarkan memo dalaman kepada kakitangan bertarikh 1 April, permohonan cuti untuk syarikat penerbangan yang menggajikan kira-kira 3,500 kakitangan itu dibuka sehingga 3 April untuk cuti bermula 6 April
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, keputusan ini tidak dibuat dengan mudah dan ia adalah sebahagian daripada tindak balas yang perlu terhadap apa yang boleh digambarkan sebagai persekitaran ‘mod krisis’ seperti yang telah diketengahkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke.
“Kami beroperasi dalam keadaan yang memerlukan perancangan yang teliti, pengurusan kapasiti yang berdisiplin dan pemantauan rapi terhadap perkembangan global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mendapatkan penjelasan berkaitan memo terbabit.
Beliau berkata, banyak negara dan pihak berkepentingan industri menunjukkan bahawa ketersediaan bekalan bahan api hanya terhad kepada beberapa bulan akan datang.
Katanya, dalam persekitaran sedemikian, pihaknya mesti mengambil pendekatan yang sangat proaktif terhadap cara menguruskan operasi.
“Keutamaan kami adalah untuk meminimumkan kerugian kewangan sambil memastikan syarikat penerbangan kekal stabil dan mampan dalam jangka masa panjang.
“Jika kita terus beroperasi tanpa membuat pelarasan, ia boleh mendedahkan syarikat kepada risiko operasi dan kewangan dan secara tidak langsung menyumbang kepada ketidakstabilan yang lebih luas dalam ekosistem penerbangan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau berharap penumpang memahami rasional di sebalik pelarasan ini dan terus menyokong Batik Air Malaysia.
“Matlamat kami adalah sentiasa untuk mengimbangi kemampanan operasi dengan keperluan pelanggan, sambil memastikan kami kekal boleh dipercayai dan berdaya tahan sepanjang tempoh ketidakpastian ini,” jelasnya. – UTUSAN










