OSK Property memperkenalkan Aura, menara kediaman bernilai RM2.25 bilion (AUD$800 juta) yang bakal menjadi fasa ketiga dalam pembangunan bersepadu Melbourne Square di Southbank, Melbourne.
Pembangunan itu merupakan sebahagian daripada projek bersepadu Melbourne Square bernilai RM9.85 bilion (AUD$3.5 bilion) yang terletak di antara lokasi bandar dalam utama di bandar Melbourne.
Pembangunan setinggi 67 tingkat itu merangkumi 673 unit kediaman, sekali gus menambah kepada landskap latar langit Melbourne Square yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Australia, Woon Chong Boon berkata, Aura mewakili evolusi seterusnya visi Melbourne Square.
“Aura menjadi contoh kesejahteraan holistik, dengan penekanan terhadap kesejahteraan sosial, fizikal dan mental yang mewujudkan persekitaran kediaman yang tenang di tengah-tengah Southbank.
“Kami turut teruja dengan sambutan kukuh terhadap menara kediaman BLVD sebelum ini serta permintaan berterusan terhadap kemudahan, reka bentuk dan kesalinghubungan yang ditawarkan di Melbourne Square.
“Bagi pembeli Malaysia yang ingin mempelbagaikan pelaburan ke peringkat antarabangsa, Melbourne terus menawarkan asas jangka panjang yang kukuh disokong pertumbuhan penduduk, permintaan sewaan yang tinggi dan persekitaran bandar yang dinamik,” katanya dalam kenyataan.
Aura turut memperkenalkan konsep reka bentuk berteraskan kesejahteraan, komuniti dan gaya hidup bandar moden.
Ia menawarkan unit bermula daripada 463 kaki persegi bagi studio hingga 1,496 kaki persegi bagi kediaman tiga bilik tidur dengan harga bermula daripada RM1.66 juta.
Beliau berkata, pelancaran dibuat ketika pasaran hartanah kediaman Australia kembali mendapat perhatian pelabur Malaysia, disokong oleh persekitaran ekonomi yang stabil, rangka kerja kawal selia yang telus serta permintaan perumahan yang berterusan di bandar utama seperti Melbourne.
“Melbourne yang sering disenaraikan antara bandar paling selesa didiami di dunia, terus menonjol sebagai salah satu pasaran kediaman jangka panjang paling menarik di Australia.
“Pertumbuhan penduduknya kekal antara yang tertinggi di negara itu, didorong oleh migrasi antarabangsa, sektor pendidikan bertaraf global serta peranannya sebagai hab kewangan dan budaya utama.
“Faktor ini menyokong permintaan perumahan jangka panjang, khususnya di kawasan bandar dalam yang mempunyai akses baik,” jelasnya.
Aura terletak di Southbank, di 7 Hoff Boulevard, bersebelahan pusat perniagaan utama bandar (CBD) Melbourne dan di sepanjang Sungai Yarra, sekali gus menawarkan akses dekat kepada peluang pekerjaan, gaya hidup dan destinasi kebudayaan.
Sepanjang sedekad lalu, Southbank telah berkembang menjadi satu daripada kawasan kediaman paling rancak di Melbourne serta menjadi pusat seni dan hiburan utama negara, menarik golongan profesional, eksekutif, pelajar dan penduduk antarabangsa yang mahukan kehidupan bandar.
Dari Southbank, penduduk hanya beberapa minit dari daerah kewangan CBD Melbourne, kawasan seni, Galeri Nasional Victoria, kompleks hiburan Crown serta rangkaian kafe dan restoran di tepi sungai.
Bagi pelabur hartanah, lokasi berhampiran pusat pekerjaan, institusi budaya dan kemudahan gaya hidup dilihat sebagai pemacu utama permintaan penyewa serta peningkatan nilai jangka panjang.
Akses trem di hadapan pembangunan juga memudahkan pergerakan tanpa keperluan kenderaan.
Aura merupakan sebahagian daripada Melbourne Square, sebuah pembangunan bersepadu pegangan bebas seluas lima ekar yang menggabungkan menara kediaman, ruang runcit dan kawasan hijau awam dalam satu pelan induk.
Projek berskala besar seperti ini masih jarang di kawasan bandar dalam Melbourne.
Kawasan ini turut menempatkan Kennedy Park seluas 3,745 meter persegi, pasar raya Woolworths, kemudahan pendidikan awal Nido, BWS serta pelbagai kafe dan restoran.
Bagi pelabur, pembangunan dengan kemudahan sedia ada dan operasi runcit aktif memberi keyakinan terhadap kebolehdiaman dan daya tarikan jangka panjang sesuatu kawasan.
Pembinaan Aura dijangka bermula pada akhir 2026, sekali gus menambah satu lagi fasa kepada pembangunan Melbourne Square yang terus berkembang sebagai komuniti bandar bersepadu utama di Melbourne. – UTUSAN










