PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), menerima pengiktirafan industri di Anugerah Dana Lipper LSEG.
Ini sekali gus menandakan kemenangan sulung ASNB bagi anugerah kumpulan serta penerimaan dua Anugerah Lipper secara individu.
Pada majlis penganugerahan tersebut, ASNB meraih Anugerah Kumpulan Aset Campuran (Mixed Assets) (Provident), selain memenangi Anugerah Dana Aset Campuran (Mixed Asset) MYR Balanced – Malaysia (Provident) bagi tempoh tiga tahun dan lima tahun menerusi dana ASN Imbang (Aset Campuran Seimbang) 1.
Anugerah itu diterima oleh Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan PNB, Hanizan Hood bagi pihak ASNB, sekali gus mencerminkan konsistensi prestasi dana-dana tersebut serta keupayaan ASNB untuk memberikan pulangan terlaras risiko yang kompetitif dalam segmen dana simpanan sepanjang tempoh penilaian.
Menurut Hanizan, pengiktirafan ini menekankan kepentingan disiplin dalam proses pelaburan serta konsistensi jangka panjang dalam memberikan nilai kepada pemegang unit kumpulan.
“Prestasi kukuh dana-dana ASNB mencerminkan usaha berterusan di seluruh kumpulan PNB bagi memperkukuh keupayaan pelaburan, di samping menunaikan mandat kami untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia demi kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah Dana Lipper LSEG ditentukan melalui metodologi kuantitatif bebas yang menilai dana dan pengurus dana merentasi tempoh tiga, lima dan sepuluh tahun, dengan penekanan kepada prestasi mampan berbanding dana setara.
Sebanyak tujuh anugerah kumpulan dan 93 anugerah individu disampaikan pada majlis penganugerahan 2026.
Dalam pada itu, PNB dan ASNB kekal komited untuk mengharungi landskap pelaburan yang sentiasa berkembang dengan mengekalkan perspektif jangka panjang, dipandu oleh tadbir urus yang kukuh, pengurusan risiko yang berhemah serta tanggungjawab bersama untuk melindungi dan mengembangkan simpanan rakyat Malaysia secara mampan. – UTUSAN









