Arifah Hot Oven tarik pelanggan korporat

Arifah Hot Oven tarik pelanggan korporat

NUR Arifah Ahmad Shariman menunjukkan kek dan kuih yang dijual di Arifah Hot Oven Enterprise.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Arifah Hot Oven Enterprise meningkatkan keyakinan pelanggan dan peluang kerjasama dengan syarikat korporat selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pemiliknya, Nur Arifah Ahmad Shariman, 35 berkata, proses mendapatkan pensijilan halal pada awalnya dilihat sukar dan memerlukan kos yang tinggi. 

“Namun, melalui inisiatif latihan kesedaran halal yang ditawarkan, saya berjaya memperoleh sijil tersebut. Permohonan pensijilan halal bermula pada September 2025 dan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada Januari 2026, merangkumi premis serta produk.

“Selepas mendapat sijil halal, kami melihat perubahan positif terutama dari segi keyakinan pelanggan dan peluang kerjasama dengan syarikat korporat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Tambah Nur Arifah, walaupun peningkatan jualan masih belum dapat dinilai sepenuhnya kerana tempoh yang masih singkat, permintaan daripada pelanggan korporat mula meningkat, khususnya bagi tempahan musim perayaan.

Katanya, perniagaan tersebut telah beroperasi selama empat tahun secara rasmi, namun penglibatannya dalam industri bakeri telah melebihi sedekad. 

Nur Arifah merupakan graduan Diploma Sains dan Teknologi Pembakaran (Roti dan Pastri) daripada Malaysian Institute of Baking di Petaling Jaya memulakan kerjaya dengan menjalankan perniagaan bersama bapanya, Ahmad Shariman sebelum mengambil keputusan untuk bergerak sendiri.

“Kami fokus kepada kek dan pencuci mulut, terutamanya kek tempahan khas serta kek sedia untuk dimakan yang boleh didapati dengan cepat,” katanya.

Selain meningkatkan kepercayaan pelanggan, pensijilan halal juga membantu memperkemaskan operasi dalaman syarikat. 

Arifah berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih sistematik memudahkan pemantauan kualiti serta mengurangkan risiko kesilapan dalam proses pengeluaran.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka beberapa cawangan kecil di sekitar Lembah Klang.

Katanya, langkah ini bertujuan memudahkan penghantaran kek ‘sedia untuk dimakan secara lebih cepat dan menjimatkan kos kepada pelanggan.

“Kami ingin mewujudkan dapur pusat dan beberapa cawangan kecil supaya pelanggan di kawasan seperti Petaling Jaya dapat menikmati perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama tanpa kos yang tinggi,” katanya.

Selain pasaran tempatan, Nur Arifah turut menerima tempahan dari luar negara, khususnya Singapura, terutamanya bagi kek perkahwinan dan tempahan khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN