PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) melantik Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataannya, Ahmad Fuaad merupakan tokoh korporat berpengalaman luas dengan lebih tiga dekad kepimpinan merentasi sektor hartanah, automotif, utiliti, media, perkhidmatan kewangan serta perundingan profesional.
Beliau mempunyai kepakaran dalam strategi korporat, transformasi perniagaan, pengurusan kewangan dan pemulihan organisasi berskala besar.
Ahmad Fuaad turut menerajui pelbagai inisiatif strategik yang memacu pertumbuhan mampan dan prestasi organisasi.
“Ini termasuk merangka hala tuju jangka panjang, melaksanakan pemulihan perniagaan serta memperluas portfolio ke bidang baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan alam sekitar, di samping meningkatkan kecekapan operasi dan prestasi kewangan syarikat,” katanya.
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, ahli lembaga pengarah, barisan pengurusan serta seluruh warga UDA mengalu-alukan pelantikan tersebut.
“Dengan pengalaman serta rekod perkhidmatan beliau yang luas, kami yakin beliau berupaya memimpin UDA memenuhi matlamat utama penubuhannya,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad Fuaad pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad serta Ketua Pegawai Kewangan Astro Malaysia Holdings Berhad.
Beliau juga merupakan bekas rakan kongsi di Ernst & Young dan pernah menyandang pelbagai peranan kepimpinan kanan di DRB-HICOM Berhad dan Petaling Garden Berhad.
Mengulas mengenai pelantikannya, Ahmad Fuaad berkata, beliau berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui UDA pada fasa penting ini.
“Saya komited untuk memperkukuh asas perniagaan serta mempercepat pelaksanaan inisiatif transformasi bagi memastikan syarikat terus berkembang dan mencipta nilai mampan kepada semua pemegang taruh.
“Dengan sokongan ahli lembaga pengarah dan seluruh warga kerja UDA, saya yakin kita dapat terus memacu pertumbuhan serta merealisasikan aspirasi syarikat,” katanya. – UTUSAN










