PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania) memeterai kerjasama jenama bernilai tujuh angka bersama Zahirah Macwilson menerusi segmen Jenama Lestari syarikat itu, melibatkan dua jenamanya iaitu Offspring dan Tanamera.
Kerjasama strategik itu dijangka memperkukuh komitmen kedua-dua jenama berkenaan dalam mempromosikan gaya hidup lestari serta kesejahteraan keluarga.
Pengumuman kerjasama tersebut dibuat sempena majlis Majlis Iftar Penghargaan Media Sedania semalam, sekali gus menyaksikan pelantikan Zahirah sebagai Rakan Jenama Holistik serta Peguamcara Jenama bagi Offspring dan Tanamera.
Pengarah Urusan dan Pengasas Sedania, Azrin Mohd Noor berkata, kerjasama bernilai tujuh angka tersebut dibina atas asas kepercayaan serta keserasian nilai antara kedua-dua pihak.
“Kerjasama ini bukan sekadar mencari jurucakap, sebaliknya rakan kongsi yang benar-benar memahami nilai yang kami perjuangkan.
“Kami percaya kerjasama ini mampu memperkukuh usaha syarikat dalam menerajui industri ke arah masa depan yang lebih autentik dan lestari,” katanya dalam kenyataan.
Pemilihan Zahirah mencerminkan nilai teras syarikat yang menitikberatkan kekeluargaan, keprihatinan terhadap alam sekitar serta tanggungjawab terhadap generasi masa depan.
Beliau dikenali dengan pendekatan keibubapaan yang lebih sedar dan selamat, selari dengan visi Sedania untuk menyediakan penyelesaian penjagaan yang selamat, organik dan lestari kepada pengguna.
Usaha tersebut membawa kepada penggunaan rangkaian produk Offspring yang bebas klorin dan mesra alam bagi penjagaan dua anaknya, Isaac dan Inara, malah beliau telah menggunakan produk berkenaan sebelum kerjasama rasmi dimeterai.
Kerjasama jangka panjang itu juga dilihat memperkukuh kredibiliti Zahirah Macwilson sebagai suara yang mewakili ibu bapa yang menitikberatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan anak.
Sementara itu, Zahirah berkata, hubungannya dengan kedua-dua jenama itu bukan sekadar kerjasama komersial, sebaliknya lahir daripada pengalaman peribadi sebagai seorang ibu.
“Hubungan saya dengan Offspring dan Tanamera bukan sekadar komersial, sebaliknya lanjutan semula jadi daripada cara hidup saya.
“Jenama ini telah menjadi sebahagian daripada rutin harian saya sejak sekian lama dan saya berharap dapat membantu lebih ramai keluarga menikmati ketenangan yang sama,” katanya.
Kerjasama selama lima tahun itu turut melambangkan komitmen kedua-dua pihak terhadap pertumbuhan jangka panjang serta usaha mempromosikan gaya hidup holistik yang menekankan penjagaan keluarga, kesejahteraan diri dan kelestarian alam sekitar.
Pada majlis sama, Tanamera turut memperkenalkan koleksi Aidilfitri edisi terhad ‘Memori’, yang merupakan kurasi pertama Zahirah Macwilson bersama jenama tersebut. – UTUSAN










