U Mobile, Huawei perkukuh bakat teknikal 5G, AI

U Mobile, Huawei perkukuh bakat teknikal 5G, AI

WOON Ooi Yuen (duduk kiri) serta Zac Chow selepas majlis memeterai MoU antara U Mobile dan Huawei Malaysia di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: U Mobile memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) bagi memperkasa keupayaan tenaga kerja dalam bidang 5G-Advanced (5G-A) dan kecerdasan buatan (AI).

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kesediaan kepimpinan serta kompetensi teknikal warga kerja U Mobile bagi menyokong pertumbuhan syarikat dalam persekitaran digital yang semakin berkembang, sekali gus merealisasikan aspirasi digital Malaysia.

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, rantaian bakat yang tepat merupakan kunci kejayaan syarikat dalam ekonomi digital yang pesat berubah.

“Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu di Malaysia, U Mobile perlu berada di hadapan dalam teknologi bagi memastikan pelanggan mendapat pengalaman ULTRA5G yang terbaik.

“Selain pelaburan dalam rangkaian 5G generasi akan datang, kami percaya bakat adalah kunci kejayaan dan kami berbesar hati dapat memanfaatkan kepakaran teknikal Huawei Malaysia untuk mempertingkatkan keupayaan pasukan kami,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Ooi Yuen, melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam tiga inisiatif utama termasuk Program Pemerkasaan Pengurusan, Modul Latihan Industri 5G-A dan AI Tempatan serta Modul Inovasi Bersama untuk Latihan Bakat.

Di bawah MoU tersebut, Huawei Malaysia akan menyediakan sumber global serta akses kepada pakar teknikal dan pensyarah terbaik bagi membantu meningkatkan pembuatan keputusan strategik yang memfokuskan kepada penggunaan AI dalam perniagaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Zac Chow berkata, transformasi perisikan digital hanya boleh dipercepatkan dengan menggabungkan teknologi 5G-A dan AI bersama bakat yang berkemahiran.

“Huawei akan memanfaatkan kepakaran global kami untuk membangunkan sistem tempatan, kursus berkualiti tinggi dan sokongan teknikal bagi membantu U Mobile mengoptimumkan inisiatif bakat mereka.

“Teknologi membolehkan sesuatu berfungsi, namun manusia yang menggerakkan teknologi tersebut. Kami menyasarkan untuk membantu dalam kedua-dua aspek ini,” katanya.

MoU tersebut dimeterai bersempena Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2026 dan merupakan salah satu daripada empat MoU yang ditandatangani oleh U Mobile pada acara berkenaan tahun ini.

Langkah itu juga membolehkan U Mobile membina rantaian bakat dalaman yang teguh dan bersedia untuk masa hadapan, sekali gus mengukuhkan kesediaan syarikat untuk memenuhi tuntutan industri digital yang sentiasa berubah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN