KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada rancangan untuk melakukan perubahan drastik terhadap dasar semasa, khususnya melibatkan harga RON95, susulan ketidaktentuan pasaran minyak dan gas akibat konflik di Asia Barat ketika ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun sebarang konflik antarabangsa lazimnya mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak mentah Brent, kerajaan melalui kementerian sentiasa menilai indikator utama termasuk harga petroleum dan gas bagi memastikan kestabilan pasaran domestik.
“Apabila berlaku konflik, memang akan ada ‘sudden surge’ atau perubahan ketara pada harga minyak mentah. Namun pasaran dan pemain industri juga akan cuba menormalkan keadaan.
“Di peringkat kementerian, kita memantau rapat harga Brent dan indikator berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas Forum CEO OGSE100 Tahun Ke-3 2026 di sini hari ini.
Menurut beliau, mekanisme subsidi bersasar yang dilaksanakan ketika ini membolehkan kerajaan mengekalkan harga bahan api pada kadar munasabah kepada rakyat.
“Isu peruntukan dan implikasi fiskal subsidi pula diteliti secara lebih mendalam oleh Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, secara sejarahnya, apabila harga minyak mentah melepasi paras tertentu, hasil yang diterima syarikat minyak nasional seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan meningkat, namun pada masa sama, beban subsidi kerajaan juga berpotensi bertambah.
Beliau berkata, komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat jelas dalam memastikan sebarang keputusan berkaitan dasar domestik dibuat secara berhati-hati dan berpandukan data.
“Perubahan pasaran ketika ini tidak memberi sebarang petunjuk bahawa kerajaan akan membuat perubahan dasar secara drastik, termasuk yang melibatkan harga domestik RON95,” katanya.
Mengulas mengenai kepelbagaian sumber tenaga, beliau berkata, Malaysia sedang merangka dan melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Nasional bagi menjamin kesinambungan, keselamatan dan kelestarian bekalan gas negara.
Katanya, aspek geopolitik yang dijangka semakin mencabar menjelang 2026 telah pun diambil kira ketika pelan tersebut digubal.
“Sebarang impak daripada konflik semasa akan terus diperhatikan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya. – UTUSAN










