Tiada tolak ansur sebarang bentuk penghinaan agama Islam

Tiada tolak ansur sebarang bentuk penghinaan agama Islam

TUNKU NASHRUL ABAIDAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyebaran fitnah berniat jahat, tohmahan dan berita palsu yang sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bertujuan untuk mencetuskan suasana tidak harmoni di negara ini.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan sedemikian secara jelas bertujuan untuk memburukkan usaha kerajaan dan menggugat ketenteraman awam dengan mencampur aduk isu-isu yang berbeza.

Katanya, kerajaan memandang serius penyebaran fitnah berniat jahat, tohmahan dan rujukan palsiu yang sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berhubung isu penghinaan al-Quran melibatkan seorang pelajar, katanya, individu terbabit telah ditahan polis pada 25 Februari lalu.

“Tangkapan dilakukan sehari selepas kejadian diketahui umum. Tindakan serta-merta telah diambil dan individu tersebut juga telah didakwa di mahkamah hari ini.

“Kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam, khususnya terhadap kitab suci al-Quran,” katanya pada taklimat media Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Tunku Nashrul berkata, seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa Malaysia adalah negara hukum yang ditadbir berpaksikan undang-undang.

Katanya, keadilan hakiki menuntut proses pengadilan yang telus bukannya menghukum tanpa usul periksa.

“Justeru, Pejabat Perdana Menteri menggesa semua masyarakat agar merujuk sumber yang benar dan boleh dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat serta tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan tohmahan yang tidak disokong fakta.

“Pada masa sama, orang ramai perlu memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil dan telus; serta tidak memperalat kesucian agama bagi kepentingan politik kepartian,” katanya.

Beliau mengambil kesempatan untuk mengingatkan orang ramai supaya mengambil peluang Ramadan untuk memperkukuh ukhuwah, menjaga keharmonian dan menambah amal ibadah serta menghindari perkara-perkara yang boleh merosakkan kesejahteraan masyarakat termasuk fitnah dan berita palsu.

“Alhamdulillah, kita berada di bulan Ramadan al-Mubarak, bulan yang menuntut umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan, kesabaran, dan memupuk semangat rahmah sesama kita.

“Semoga ibadah puasa diterima dan dipermudahkan di samping terus berusaha membawa kemakmuran yang berterusan untuk negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×