Sunway Healthcare dijangka sertai 30 komponen indeks FBM KLCI - Utusan Malaysia

Sunway Healthcare dijangka sertai 30 komponen indeks FBM KLCI

SUNWAY Healthcare bakal memasuki Pasaran Utama hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Healthcare Holdings (Sunway Healthcare) berpotensi besar untuk terus menyertai senarai 30 syarikat komponen indeks FBM KLCI sejurus selepas penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan hari ini.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya berkata, kemasukan segera itu boleh berlaku sekiranya nilai pasaran Sunway Healthcare pada hari pertama penutupan dagangan mengatasi nilai pasaran konstituen terkecil dalam indeks berkenaan.

Penganalisisnya, Ivy Ng Lee Fang berkata, berdasarkan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.45 sesaham, nilai pasaran Sunway Healthcare dianggarkan mencecah RM16.7 bilion.

“Setakat 13 Mac lalu, QL Resources Bhd. merupakan syarikat terkecil dalam komponen FBM KLCI dengan nilai pasaran kira-kira RM13.4 bilion.

“Jika nilai pasaran Sunway Healthcare kekal di atas paras tersebut pada hari pertama penyenaraiannya, ia secara automatik layak menggantikan kedudukan QL Resources mengikut peraturan kemasukan pantas indeks,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyenaraian ini merupakan sebahagian daripada langkah korporat pengasingan daripada Sunway Berhad, di mana pemegang saham sedia ada Sunway menerima saham Sunway Healthcare melalui dividen dalam bentuk saham.

“Kami menganggarkan sekiranya Sunway Healthcare berjaya disenaraikan dalam FBM KLCI, ia akan membawa wajaran sebanyak 0.5 peratus kepada indeks tersebut.

“Ini sekali gus akan meningkatkan wajaran sektor penjagaan kesihatan dalam KLCI daripada 3.3 peratus kepada 3.8 peratus,” jelasnya.

Menurut Ivy, harga IPO RM1.45 sesaham itu mencerminkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 64.8 kali ganda berdasarkan keuntungan bersih (PATAMI) tahun kewangan 2024 yang berjumlah RM257.5 juta.

Ujarnya, sekiranya kemasukan pantas ini berlaku, perubahan tersebut akan berkuat kuasa selepas waktu dagangan ditutup pada hari kelima penyenaraian dan dana-dana indeks yang menjejak FBM KLCI dijangka perlu melakukan pelarasan portfolio masing-masing bagi mencerminkan perubahan tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau turut menarik perhatian jika Sunway Healthcare gagal melepasi nilai pasaran QL Resources atau syarat-syarat yang ditetapkan, ia perlu menunggu semakan semula indeks separuh tahunan yang seterusnya pada Jun 2026 untuk disenaraikan.

Penyenaraian Sunway Healthcare merupakan antara IPO yang paling dinantikan tahun ini, memandangkan kedudukannya sebagai salah satu pengendali hospital swasta terkemuka di Malaysia dengan kapasiti katil yang besar dan rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN