BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai kira-kira RM3.9 juta menerusi beberapa operasi bersepadu di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), bulan lepas.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, kejayaan itu hasil risikan serta maklumat awam dalam pelaksanaan Ops Petasan yang dijalankan secara berperingkat.
Beliau berkata, tiga serbuan berasingan dijalankan termasuk di premis kediaman serta sebuah gudang yang dikenal pasti sebagai lokasi penyimpanan barang larangan dan dalam keseluruhan operasi itu juga, pihaknya berjaya merampas jutaan batang rokok serta ribuan liter minuman keras yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Bagi kes pertama, serbuan dilakukan pada 9 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam kira-kira pukul 1.40 petang dan hasil pemeriksaan menemukan sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di ruang tamu serta dua bilik tidur dengan nilai rampasan dianggarkan RM97,040.
“Seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai pemilik rumah tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan dan kes juga masih dalam siasatan lanjut buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Bagi kes kedua, Rohaizad berkata, serbuan dilakukan pada 24 Februari lalu di sebuah premis di Taman Kekwa membawa kepada rampasan bernilai RM236,572 selain penahanan seorang lelaki tempatan berusia sekitar 50-an untuk membantu siasatan.
Katanya, kes ketiga bagaimanapun merekodkan jumlah rampasan terbesar apabila pihak JKDM bertindak menyerbu sebuah gudang dan lori di Kampung Manggis pada 26 Februari lalu serta merampas sebanyak 3.34 juta batang rokok tidak berkastam disimpan dalam gudang dan lori tersebut dengan nilai keseluruhan RM3.64 juta.
“Dua lelaki tempatan masing-masing pemandu lori dan kelindan berusia lingkungan 40-an ditahan ketika berada di dalam kenderaan tersebut semasa operasi dijalankan,” katanya yang memberitahu, kesemua individu yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Rohaizad berkata, siasatan juga mendapati bahawa sindiket terbabit menggunakan premis kediaman dan gudang sebagai lokasi penyimpanan dalam usaha untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Menurutnya, semua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan menyimpan barang tidak berkastam dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










