Bas percuma GoKL masuk Hospital Rehabilitasi Cheras

Bas percuma GoKL masuk Hospital Rehabilitasi Cheras

HANNAH Yeoh bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Wad Geriatrik, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas percuma GoKL melibatkan laluan MRT Maluri ke Bandar Tun Razak (GoKL11) diperluas dengan hentian baharu terus ke dalam kawasan Hospital Rehabilitasi Cheras bermula 1 April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan akses pengangkutan awam khususnya kepada pesakit waris serta warga kota yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, peluasan laluan tersebut juga memberi tumpuan kepada keperluan golongan warga emas yang semakin meningkat dan dijangka mencecah 11.7 peratus menjelang 2030.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi merakyatkan fasiliti kerajaan supaya kemudahan kesihatan bukan sahaja tersedia, tetapi benar-benar boleh diakses oleh semua khususnya warga emas dan pesakit di Kuala Lumpur yang berdepan cabaran mobiliti.

“Atas permintaan pihak hospital, laluan GoKL11, akan masuk ke hospital untuk memudahkan warga kota yang mahukan rawatan.

“Dahulu, bas ini berhenti dekat luar, jadi sekarang kita panjangkan sedikit laluan untuk masuk,” katanya ketika sidang media Inisiatif Baharu dan Pemerkasaan Pesakit Rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr. Faizul Nizam Abu Salim.

Tambahnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan sedia ada dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh oleh rakyat.

“Sebenarnya, Kuala Lumpur mempunyai banyak infrastruktur dan fasiliti. Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah untuk menyelaraskan supaya semua yang kita berikan ini saling berkait.

“Kalau kita tidak buat penyelarasan, tidak melihat data, kita tidak dapat menepati sasaran. Walaupun beri perkhidmatan, tapi ia tidak menepati golongan yang memerlukan, jadi, sekarang kita sedang meneliti semua ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN