Saripuddin lepas jawatan Pengerusi MRT Corp

Saripuddin lepas jawatan Pengerusi MRT Corp

SARIPUDDIN KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Saripuddin Kasim melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) berkuat kuasa 1 Mac 2026.

MRT Corp berkata, keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada kepentingan lain.

Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Saripuddin memainkan peranan penting dalam menerajui hala tuju strategik syarikat serta memperkukuh tadbir urus korporat, sejajar dengan mandat MRT Corp sebagai pemaju infrastruktur rel utama negara.

“MRT Corp merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saripuddin atas kepimpinan dan bimbingan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi serta mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam usaha dan perancangan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saripuddin dilantik sebagai Pengerusi MRT Corp pada 19 November 2025, berbekalkan pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan kerajaan dan kepimpinan di pelbagai kementerian.

Projek-projek utama yang sedang dijalankan oleh MRT Corp termasuklah Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line dan juga Transit Aliran Massa 3 (MRT3) Circle Line.

Saripuddin membawa bersama pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam Malaysia, di mana beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik.

Beliau pernah memegang pelbagai peranan kanan termasuk sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Saripuddin juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dari Mei 2020 hingga Julai 2025.

Setakat ini, MRT Corp belum mengumumkan pelantikan pengganti bagi jawatan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN