KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menerima permohonan maaf Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan Peristiwa Memali 1985.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, berlaku kekhilafan dalam dakwaan tersebut dan Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) sudah membuat permohonan maaf pada 4 Disember lalu.
Beliau berkata, Dewan Rakyat menerima dokumen daripada Takiyuddin dan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak termasuk Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Ketua Polis Terengganu dan Ketua Polis Daerah Marang.
“Saya putuskan ada kekhilafan. Maknanya hari ini juga, Kota Bharu sudahpun memohon maaf. Saya rasa dalam bulan Ramadan yang baik ini, saya terima baik permohonan maaf itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 22 Oktober lalu, Takiyuddin membangkitkan kebimbangan berhubung latihan dijalankan oleh Maritim Malaysia di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September 2025 yang disifatkan sebagai mengulangi peristiwa berdarah Memali.
Takiyuddin mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan dengan mendakwa mereka ialah polis.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja menimbulkan ketakutan, malah mengakibatkan keresahan dalam kalangan jemaah.-UTUSAN











